KOTA KINABALU – Sebanyak enam laporan polis telah dibuat oleh ibu bapa kepada lima remaja yang sedang dibicarakan dalam kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berhubung dakwaan berlaku kacau ganggu terhadap saksi oleh pihak pendakwaan.Laporan polis tersebut turut melibatkan seorang ibu kepada pelajar yang juga merupakan saksi dalam perbicaraan berkenaan.Perbicaraan yang bermula pada 8 Disember lalu sepatutnya diteruskan sehingga Jumaat, namun telah ditangguhkan ke 19 Januari depan untuk menunggu arahan lanjut daripada mahkamah.Peguam mewakili salah seorang tertuduh, Datuk Ram Singh berkata, laporan polis itu dibuat susulan kebimbangan mereka terhadap perkembangan kes tersebut."Setakat ini, lima ibu bapa masing-masing telah membuat laporan polis malam tadi dan kenyataan mereka sedang dirakam. Siasatan sedang dijalankan."Saya menjangkakan perkara ini akan berlanjutan ke tahun hadapan sementara menunggu hasil siasatan. Kita masih belum mengetahui keputusannya, namun perkara ini melibatkan individu-individu tertentu dalam prosiding berkenaan dan ia adalah sesuatu yang sangat penting."Hal ini (dakwaan kacau ganggu) terdedah melalui beberapa soalan. Kami tidak mendedahkan perkara lain kerana terikat dengan perintah larangan bersuara (gag order), namun terdapat beberapa perkara penting yang perlu diketahui oleh pihak media dan orang ramai mengenai perkembangan terkini kes ini," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, pada Khamis.Ram turut menyatakan rasa kecewa terhadap perkembangan tersebut memandangkan beliau menyangka prosiding akan berjalan lancar."Kami sangat kecewa. Kami menyangka prosiding akan berjalan lancar, namun entah bagaimana berlaku gangguan teknikal," katanya.Sementara itu, peguam mewakili empat lagi tertuduh, Azhier Farhan Arisin mengesahkan bahawa empat ibu bapa anak guamnya turut membuat laporan polis berhubung prosiding yang berlaku."Semalam, anak guam kami telah pun membuat empat laporan polis berhubung prosiding yang berlaku. Tetapi oleh kerana gag order, saya tidak akan mengulas tentang apa yang berlaku pada prosiding tersebut."Cuma saya boleh mengulas kandungan laporan polis anak guam kami yang meminta agar satu siasatan polis dijalankan terhadap saksi pendakwaan yang dikatakan telah dikacau ganggu oleh pihak pendakwaan," katanya.Azhier Farhan berkata, susulan laporan itu, pihak polis telah menghubungi mereka untuk merakam percakapan pengadu dan turut memohon sambungan rakaman percakapan peguam."Terdapat satu lagi laporan polis terbaru yang difailkan oleh ibu kepada seorang saksi kanak-kanak, yang menyatakan bahawa saksi tersebut telah dipaksa menukar kenyataan di mahkamah dan juga dipaksa untuk tidak bercakap benar."Itu adalah intipati laporan polis oleh ibu saksi tersebut, dan pihak polis telah menghubungi kami untuk anak guam kami membantu siasatan dengan memberikan keterangan," katanya.Bagaimanapun, Azhier Farhan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak, bagi menghormati gag order yang dikenakan dalam perbicaraan itu."Namun, apa yang saya boleh katakan setakat ini, anak guam kami akan memberikan kerjasama penuh terhadap laporan polis ibu kepada saksi kanak-kanak yang mendakwa wujud kacau ganggu oleh pihak pendakwaan untuk menukar keterangan di mahkamah."Itu sahaja yang boleh saya nyatakan. Perkara ini masih dalam siasatan polis dan kita serahkan kepada pihak berkuasa," jelasnya.Pada masa sama, Azhier Farhan turut menyatakan bahawa anak guamnya akan memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berhubung pencabulan hak perbicaraan adil, kerana mereka berpendapat bahawa hak asasi anak guam mereka telah dicabuli oleh pihak pendakwaan.