Hilang sejak 15 Disember, mayat dalam beg di rumah kosong dipercayai Suri

REMBAU - Polis mengesahkan penemuan satu mayat wanita di dalam sebuah beg di sebuah rumah yang tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, di sini pada Khamis.Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, mayat wanita berkenaan disyaki berkaitan kes orang hilang yang dilaporkan di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor pada 15 Disember lalu."Susulan daripada laporan tersebut, pada 18 Disember (Khamis) satu laporan diterima di Balai Polis Pedas, Rembau."Bertindak atas maklumat, polis telah pergi ke sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi untuk pemeriksaan lanjut dan telah mengesan unsur-unsur berlakunya perlakuan jenayah di kawasan belakang rumah tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Menurutnya, pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu beg mengandungi mayat seorang perempuan yang ditanam.Beliau berkata, polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan usaha mengesan individu yang disyaki terlibat dalam kes ini.Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline ibu pejabat polis daerah rembau di talian 06-6852222.Sebelum ini Sinar Harian melaporkan polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kehilangan Suri Narudin, 53, daripada ibu saudaranya."Wanita berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Ampang berhubung kehilangan anak saudaranya."Kita telah membuka kertas siasatan, kes diklasifikasikan Orang Hilang, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan wanita itu," katanya.