KUALA KRAI - Seorang pemain ragbi Kelantan ditemukan lemas selepas tong drum yang dipercayai dijadikan perahu terbalik semasa menjala ikan di kawasan kebun getah ditenggelami banjir di Kampung Pemberian, di sini pada Khamis.Mangsa, Muhammad Syahril Hakimy Sudin, 19, ditemukan pada jam 9.02 malam di dasar kebun getah pada kedalaman empat meter susulan limpahan air Sungai Lebir.Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Khairul Duha Abdul Halim berkata, mayat pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Johor itu ditemukan pada jarak 50 meter dari lokasi dia dikhuatiri hilang."Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 7.22 malam."Jentera tiba di lokasi jam 7.55 malam bersama lapan anggota termasuk pegawai."Setibanya di lokasi, maklumat awal diterima daripada orang awam memaklumkan bahawa seorang lelaki dewasa dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki terbalik semasa menjalankan aktiviti menjala ikan di kawasan kebun getah yang dinaiki air," katanya ketika dihubungi.Sementara itu, jiran mangsa, Syafirul Iman Mohd Rasdhi, 20, memberitahu, Muhammad Syahril Hakimy dipercayai keluar menjala ikan pada jam 3 petang.Menurutnya, kehilangan Muhammad Syahril Hakimy disedari oleh seorang penduduk kampung selepas menjumpai selipar dan jala miliknya di tebing pada jam 6 petang."Tong drum yang dinaikinya didapati terbalik. Tetapi dia tidak ditemukan selepas usaha awal mencari dilakukan."Saya kemudiannya menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan," katanya.Ujarnya, Muhammad Syahril Hakimy dikatakan pulang bercuti di kampung halaman.