Tubuh sekretariat libat PM, MB Selangor

SHAH ALAM - Saranan untuk menubuhkan satu sekretariat khusus melibatkan Perdana Menteri selaku pengerusi manakala Menteri Besar Selangor sebagai pengerusi bersama wajar dipertimbangkan pada masa hadapan bagi membincangkan isu perkhidmatan rel dan bas di sekitar Lembah Klang.Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Ridza Abdoh Salleh berkata, di bawah badan eksekutif Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor pula perlu membabitkan pegawai pelbagai jabatan kerajaan, pemain industri, tokoh akademik, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pakar yang konsisten menyuarakan isu sistem pengangkutan awam.Ini kerana menurutnya, untuk menyelesaikan isu melibatkan kelemahan penyelenggaraan, kelewatan, gerabak uzur dan jadual tidak tepat waktu mesti dibuat di peringkat pentadbiran serta pucuk pangkal terlebih dahulu."Kalau tubuh suruhanjaya, perlu pergi ke Parlimen untuk ubah dasar, undang-undang dan sebagainya jadi ia mungkin agak renyah."Tetapi, jika diwujudkan sekretariat, kita boleh lantik pegawai di beberapa jabatan kerajaan, pemain industri seperti Prasarana, PBT antaranya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ahli akademik, kemudian satukan mereka dalam sekretariat ini."Bincang dan sumbang idea macam mana nak tambah baik sistem pengangkutan awam fokus di Lembah Klang. Jadi, mereka selaku think tank bertanggungjawab penuh menghantar laporan serta cadangan kepada dua pemimpin dalam badan eksekutif."Saya fikir seandainya dapat bangunkan sekretariat khusus untuk melihat integrasi antara rel dan bas sahaja, banyak penambahbaikan boleh dibuat," katanya.Beliau berkata demikian ketika program Meja Bulat: Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk ‘Masalah Rel Lembah Klang: Sampai Bila Mahu Sengsara?’ yang disiarkan di platform digital Sinar Harian.Program dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis iaitu Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia Universiti Teknologi Mara (Mitrans-UiTM), Profesor Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv.Ridza menjelaskan, keperluan menubuhkan sekretariat amat mustahak memandangkan tiada master plan dibentang selama ini dalam usaha melunaskan isu berbangkit.Baginya, penglibatan Perdana Menteri selaku head of government dan Menteri Besar Selangor sebagai head of state dalam sekretariat yang berdiri sendiri wajar meskipun menyedari ia sukar direalisasikan buat masa ini.Mengulas mengenai kualiti sistem rel 20 tahun lalu dengan sekarang, Ridza tidak menafikan perkhidmatan bertambah canggih, bertaraf dunia dan semakin ramai pengguna memilih tren sebagai pengangkutan harian.Beliau turut menegaskan bahawa tren padat dengan pengguna setiap hari menandakan perkembangan positif industri itu dari masa ke masa.Namun kata beliau, cabaran ketika ini ialah bas, di mana negara kekurangan hentian yang bagus dan ia agak sukar ditangani buat masa sekarang.Ditambah pula lambakan penggunaan kereta elektrik (EV) yang dijual pada harga murah ekoran persaingan sengit dalam kalangan pemain industri, membuatkan majoriti memilih memandu kenderaan berbanding menaiki pengangkutan rel dan bas."Tetapi ada juga golongan yang suka naik pengangkutan awam tidak kiralah B40, M40 bahkan T20 sekalipun kerana tidak sanggup hadap kesesakan trafik," ujarnya.Justeru, beliau berpendapat sekretariat itu juga perlu mencari jalan penyelesaian menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam berkualiti.Antaranya, memperbanyakkan hentian bas tertutup lengkap dengan sistem penyaman udara meskipun segelintir kawasan sudah melaksanakan inisiatif berkenaan."Saya kira perlu cari jalan serta sokongan daripada kerajaan, PBT dan sebagainya. Kalau banyak hentian bas ada penyaman udara, mesti ramai akan naik bas selepas ini," kata beliau.