Tambah baik jaringan pengangkutan awam, kawal bilangan kenderaan

SHAH ALAM - "Tambah baik jaringan pengangkutan awam sedia ada dan kawal bilangan kenderaan keluar masuk pusat bandar Kuala Lumpur".Demikian saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R Rajiv berhubung sistem perkhidmatan tren serta bas yang makin lama makin menghambat emosi masyarakat ekoran berlaku kelewatan, kelemahan penyelenggaraan, gerabak uzur serta jadual tidak ditepati.Rajiv berkata, tahap penggunaan pengangkutan awam di Kuala Lumpur ketika ini dianggarkan hanya 20 peratus dan ia mesti meningkat hingga 50 peratus supaya pengguna memilihnya sebagai opsyen utama kerana kualiti semakin bagus, dalam masa sama tidak menaiki kenderaan sendiri.Menurut beliau, ia kerana pada akhirnya golongan menaiki kereta terjebak dalam kesesakan jalan raya."Selepas kita melepasi satu tahap di mana perkhidmatan cukup baik, harga memandu ke dalam pusat bandar harus dinaikkan, secara tidak langsung mampu mengawal bilangan kenderaan."Jika kita memandu kereta di luar bandar, tidak dikenakan apa-apa penalti atau caj tambahan tetapi di pusat bandar Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan ramai meskipun waktu bekerja, kena ada sedikit kawalan."Bagi saya, kalau dua cadangan ini tidak dilaksanakan, sembilan juta penduduk di sekitar Lembah Klang yang mungkin menjadi 12 hingga 15 juta dalam 20 tahun akan datang merasai kesan buruknya," katanya.Mengambil contoh senario cuti umum di Selangor baru-baru ini, Rajiv berkata, kesesakan jalan raya ke Kuala Lumpur menyaksikan penurunan yang cukup ketara.Jelasnya, ini kerana hanya sebahagian rakyat bercuti manakala selebihnya memilih tidak memandu."Kalau kita kurangkan bilangan kereta atas jalan raya ketika waktu puncak, ia membantu semua orang bergerak dengan lancar," ujarnya.Mengulas lanjut, Rajiv berpendapat kerajaan dan pemain industri perlu meningkatkan kapasiti pengangkutan awam bagi memuatkan bilangan pengguna yang semakin bertambah, menunjukkan ada minat dan permintaan tinggi terhadap tren serta bas.Bagi memungkinkan perkara itu, Rajiv menyarankan supaya kerajaan menambah laluan bas sebagai alternatif kepada destinasi tujuan pilihan pengguna."Semuanya tidak perlulah naik tren ke destinasi contohnya daripada Kelana Jaya ke Kuala Lumpur, ada juga laluan bas yang sama dan direct seperti laluan tren. Jadi, tidak perlu tukar-tukar tren selepas ini sebab bas turut sediakan pilihan itu."Singapura lebih kecil dari Kuala Lumpur, dari segi bilangan penduduknya sekitar enam juta manakala saiznya 700 kilometer (km) persegi sahaja. Tetapi, negara itu miliki hampir 4,000 bas."Hong Kong pula ada 10,000 bas di samping memiliki perkhidmatan tren yang cukup hebat. Justeru, kapasiti tren di Lembah Klang mesti ditingkatkan," jelas beliau.