Rakyat Malaysia suka ‘door-to-door’

SHAH ALAM - Ketersambungan antara perkhidmatan awam rel dan bas, ditambah pula ruang parkir yang lebih banyak amat penting untuk diteliti keperluannya.Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia Universiti Teknologi Mara (Mitrans-UiTM), Profesor Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata, ia kerana rakyat di negara ini secara umumnya menyukai pilihan yang bersifat door-to-door untuk ke destinasi tertentu atas faktor jimat masa dan ingin mengelak daripada menaiki pengangkutan awam susulan cuaca buruk."Saya pernah naik bas mini semasa mula-mula bekerja dahulu dan kalau hujan, memang macam 'tin sardin'."Malaysia pula cuaca lebih agresif, tidak sama seperti di London yang mana ketersambungan pengangkutan awam sangat bagus dari tren ke hentian bas manakala orang kita pula kalau boleh nak door-to-door."Ketersambungan kena ada tapi kenapa ramai tak nak? Dari sudut ekonomi mereka, ia satu komitmen. Contohnya ibu perlu hantar anak-anak ke pelbagai lokasi berbeza naik tren, ditambah pula hujan jadi ada jurang di situ," katanya.Beliau berkata demikian ketika program Meja Bulat: Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk ‘Masalah Rel Lembah Klang: Sampai Bila Mahu Sengsara?’ disiarkan di platform digital Sinar Harian.Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Ridza Abdoh Salleh dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv.Mengulas lanjut, Wan Mazlina menyarankan supaya kerajaan mencari solusi lain untuk memenuhi keperluan rakyat dalam konteks sedemikian agar semua golongan tidak kira B40, M40 mahupun T20 dapat menikmati pengangkutan awam berkualiti tinggi.Beliau turut berpendapat masalah parkir tidak mencukupi masih membelenggu masyarakat sehingga kini.Jelasnya, ia antara faktor rakyat Malaysia tidak lagi menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan, sebaliknya memilih memandu kenderaan sendiri."Pusing-pusing kawasan parkir tujuh kali pun tak jumpa sampaikan ada yang letak tepi jalan sahaja. Selepas itu, ditahan anggota polis trafik, kena saman, clamp dan sebagainya."Memang ada cadangan park and ride di mana semua orang letak kereta dan naik feeder atau shuttle. Saya rasa perkara ini sedang diusahakan," ujar beliau.Wan Mazlina berkata, Malaysia masih terkebelakang dalam menyediakan aplikasi pengangkutan awam yang mesra pengguna.Ini kerana menurutnya, rakyat terpaksa menggunakan sekurang-kurangnya tiga aplikasi untuk mencari laluan paling mudah dan jenis pengangkutan berserta tambang murah untuk sampai ke destinasi.