KUALA LUMPUR – Malam Renjana Maskah 2025 bukan sekadar pentas apresiasi sastera, sebaliknya menjadi ruang peribadi yang sarat emosi apabila Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib, memilih untuk berbicara kepada hadirin bukan melalui angka atau dasar, tetapi menerusi puisi.Di hadapan penggiat seni, tokoh sastera dan warga industri getah, Manndzri tampil membaca puisinya sendiri dalam suasana hening yang seolah-olah menghentikan waktu.Setiap bait yang dilafazkan tidak sekadar indah pada bahasa, tetapi menyimpan pengalaman, renungan dan empati terhadap kehidupan pekebun kecil insan-insan yang sekian lama berdiri teguh di sebalik pohon getah.Pembacaan puisi itu menjadi kemuncak kepada falsafah Renjana Maskah, getaran rasa yang digandingkan dengan kejernihan akal sekali gus memperlihatkan sisi lain seorang pemimpin yang memilih seni sebagai wahana menyampaikan makna kemanusiaan.Majlis kemudiannya diteruskan dengan deklamasi puisi oleh artis serba boleh, Sabri Yunus atau lebih dikenali sebagai Pok Ya, yang menghidupkan lagi suasana dengan penghayatan bersahaja tetapi berkesan, menjadikan puisi dekat dengan jiwa khalayak pelbagai latar.Malam Renjana Maskah 2025 juga menobatkan pemenang Pertandingan Menulis Puisi RISDA 2025 yang menghimpunkan 239 penyertaan dari seluruh negara.Jaya Anak Ramba dari Miri, Sarawak dinobatkan sebagai johan menerusi puisinya Luka Pohon Menjadi Kitab Yang Dibaca Setiap Subuh.Naib johan pula dimenangi Sahrunizam Abdul Talib dari Bera, Pahang dengan puisi Sekawan Ingatan Di Kebun Kenangan, manakala tempat ketiga menjadi milik Syed Mahadzir Syed Ibrahim dari Banting, Selangor menerusi karya Dalam Rintik Hujan.Jaya ketika ditemui Sinar Harian berkata, puisinya mengambil inspirasi daripada simbolik pohon getah sebagai saksi kehidupan."Saya juga aktif menulis novel dan puisi, dengan beberapa karya bakal diterbitkan di peringkat tempatan dan antarabangsa," ujarnya.Sementara itu, Sahrunizam pula menceritakan puisinya Sekawan Ingatan Di Kebun Kenangan lahir daripada pengalaman menoreh getah sejak remaja bersama arwah bapanya, membentuk tekad untuk menimba ilmu dan keluar daripada kepompong kemiskinan.Syed Mahadzir, pemenang tempat ketiga berkata, Dalam Rintik Hujan menggambarkan harapan seorang bapa yang bekerja di kebun getah, mengubah kehidupan keluarga meskipun berdepan kemiskinan dan cabaran zaman kecilnya.Kebanyakan tetamu yang hadir berterima kasih RISDA kerana buka ruang dan peluang untuk rakyat di negara ini berkarya dan lebih menjiwai sektor penanaman getah yang mampu membawa hasil yang baik jika diusahakan secara aktif.Dalam suasana yang sederhana tetapi penuh makna itu, puisi bukan lagi sekadar seni pentas.Ia menjadi suara jiwa, jambatan empati dan bukti bahawa di sebalik pohon getah, tersimpan kisah manusia yang wajar didengar dan pada malam itu, kisah tersebut dibacakan sendiri oleh seorang pemimpin yang memilih kata sebagai amanah.