RISDA angkat suara kecil

KUALA LUMPUR - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengambil pendekatan luar kebiasaan apabila mengangkat puisi dan sastera sebagai medium penceritaan naratif industri getah negara, khususnya kehidupan 508,000 pekebun kecil di seluruh negara.Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, langkah itu dizahirkan menerusi penganjuran Malam Renjana Maskah 2025 yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur, The MATIC, di sini pada Rabu malam.Menurut beliau, program berkenaan bukan sekadar apresiasi seni dan sastera, sebaliknya menjadi ruang renungan untuk menyelami makna kehidupan serta mengangkat suara-suara kecil yang jarang sekali didendang di sebalik pohon getah."RISDA percaya ada perkara yang tidak mampu dijelaskan melalui angka dan statistik, tetapi seni mampu menyentuhnya dengan halus dan jujur," ujarnya ketika berucap merasmikan Malam Renjana Maskah di Restoran Saloma di sini.Hadir sama, Sasterawan Negara Ke-15, Datuk Rahman Shaari dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli dan Pengerusi RISDA Bina Sdn Bhd, Datuk Mua’mar Ghada Jamal Jamaludin.Turut hadir, Pengerusi RISDA Ventures Sdn Bhd, Datuk Shaharuddin Muhammad Sidek dan Pengerusi Permodalan RISDA Berhad, Datuk Lokman Noor Adam.Beliau menjelaskan, nama Renjana Maskah membawa maksud getaran rasa, kebangkitan jiwa serta pemikiran yang jernih, selari dengan hasrat RISDA untuk mendekati masyarakat desa melalui pendekatan budaya dan nurani.Jelasnya, pertandingan penulisan puisi bertemakan ‘Di Sebalik Pohon Getah’ mendedahkan realiti kehidupan pekebun kecil yang menjadikan tanaman itu sebagai sumber rezeki, simbol kesabaran, ketahanan dan maruah insan desa."Di sebalik setiap torehan ada doa, di sebalik setiap titisan susu getah ada harapan dan di sebalik pohon itu ada insan yang mempertaruhkan kudrat mereka," ujarnya.Menurut beliau, persepsi negatif terhadap tanaman getah sering menutup hakikat bahawa sektor itu menyimpan nilai kemanusiaan dan sejarah kehidupan masyarakat luar bandar.Pertandingan Menulis Puisi RISDA 2025 menerima 239 penyertaan dari seluruh negara, dengan 23 finalis dipilih melalui proses penilaian teliti oleh juri profesional daripada Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).Puisi terpilih itu kemudiannya dikompilasikan dalam naskhah bertajuk ‘Emas Putih Negara’, yang dilancarkan sebagai dokumentasi budaya merakam sejarah, emosi dan nilai kemanusiaan masyarakat sektor getah."Buku ini bukan sekadar himpunan puisi, tetapi menjadi warisan kata untuk generasi akan datang," ujarnya.Pada majlis sama, Manndzri turut menyerahkan manuskrip puisinya berjudul ‘Dendam Budak’, yang menghimpunkan 155 puisi, kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk diterbitkan.Beliau berkata, naskhah itu dijadualkan diterbit dan dipasarkan secara rasmi dengan pelancaran dirancang sempena Pesta Buku Antarabangsa 2026.Sebahagian hasil jualan buku berkenaan akan disalurkan kepada Persatuan Sindrom Down, selari dengan tanggungjawab sosial sastera untuk memberi manfaat kepada masyarakat.Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara ke-15, Datuk Rahman Shaari, selain tokoh sastera dan penggiat seni tanah air.Manndzri berkata, penganjuran program berkenaan selari dengan aspirasi "RISDA Di Mana-Mana", yang menekankan peranan RISDA bukan hanya di desa dan kebun, tetapi juga dalam ruang pemikiran, budaya dan kesedaran masyarakat, selaras Aspirasi Desa Madani yang digariskan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).