Penuntut ditemukan maut terjatuh di pentas Dewan Canselor UMS

KOTA KINABALU - Seorang penuntut lelaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari siling Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Khamis.Mangsa berusia 23 tahun dipercayai terjatuh pada petang Rabu sebelum mayatnya ditemukan oleh pekerja penyelenggaraan di atas pentas dewan berkenaan.Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki tempatan dalam kejadian tersebut."Makluman awal diterima kira-kira jam 10.10 pagi dan sepasukan polis bersama pegawai penyiasat telah bergegas ke lokasi kejadian."Siasatan awal mendapati mangsa ditemui terbaring di atas pentas di dalam Dewan Canselor UMS oleh dua pekerja penyelenggaraan yang sedang menjalankan tugas di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan.Menurutnya, pegawai perubatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKL) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 11.10 pagi."Pemeriksaan luaran mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan selain kesan akibat terjatuh. Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut."Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam Dewan Canselor UMS mendapati mangsa dilihat terjatuh pada 17 Disember 2025 kira-kira jam 6.09 petang," katanya.Kasim berkata, setakat ini tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian berkenaan."Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat. Kes ini diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR), bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan."Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan," katanya.Sementara itu, pihak UMS dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku kejadian kematian melibatkan seorang penuntut universiti berkenaan di dalam kawasan kampus.Menurut kenyataan itu, pihak universiti kini sedang menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut."UMS dengan penuh rasa dukacita mengesahkan satu kejadian kematian yang melibatkan seorang pelajar lelaki di dalam kawasan kampus UMS."Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga universiti. Buat masa ini, pihak UMS sedang menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut," katanya.Tambah kenyataan itu lagi, pihak universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut kepada orang awam sekiranya perlu.Tegasnya, keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan UMS."Pihak universiti komited untuk memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif melalui pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) keselamatan serta pemantauan berterusan."Segala tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan dapatan rasmi siasatan kelak," katanya.Dalam pada itu, pihak UMS turut merayu orang ramai agar menghormati privasi keluarga mangsa."UMS turut merakamkan ucapan takziah dan simpati yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa atas kehilangan insan yang dikasihi," katanya.