Pengundi ramai, wakil rakyat kurang

KUALA LUMPUR - Selangor dan Terengganu dikenal pasti sebagai negeri yang kurang kadar perwakilan khususnya di Parlimen, manakala Sabah dan Sarawak dianggap terlebih perwakilan.Bagaimanapun, kedudukan itu masih selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada, kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom.Menurut beliau, Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan sebarang angka khusus mengenai jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap wajar, sebaliknya hanya menggariskan prinsip agar saiz kawasan pilihan raya dalam sesebuah negeri adalah lebih kurang sama."Kalau kita merujuk Perlembagaan Persekutuan, tiada sebarang angka wajar diberikan. Kita sepatutnya mencuba sedaya upaya dalam menentukan bagi setiap saiz satu kawasan pilihan raya itu dalam setiap negeri adalah lebih kurang sama," katanya dalam Wawancara Khas bersama Sinar Harian.Azmi menjelaskan faktor geografi dan demografi perlu diambil kira, terutama bagi kawasan pedalaman yang luas dan kurang penduduk. Perbezaan saiz kawasan tidak seharusnya terlalu besar kerana prinsip itu turut disebut dalam Perlembagaan.Beliau turut berpandangan ada keperluan garis panduan persempadanan lebih jelas, walaupun SPR perlu beroperasi dalam kerangka undang-undang sedia ada.Dalam konteks semasa, Selangor dan Terengganu disifatkan sebagai underrepresented.Selangor, negeri berpenduduk paling ramai, mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN dengan anggaran 2.9 juta pengundi, bersamaan kira-kira 132,000 pengundi bagi setiap kerusi Parlimen.Terengganu pula mempunyai lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi DUN dengan sekitar 931,000 pengundi, atau purata 116,000 pengundi bagi setiap kerusi.Purata jumlah pengundi DUN di Selangor dan Terengganu pula masing-masing 52,000 dan 29,000 pengundi.Sebagai perbandingan, Sabah dan Sarawak masing-masing mempunyai purata 65,000 ke 76,000 pengundi di kerusi Parlimen iaitu kira-kira separuh daripada angka purata di Selangor.Pada masa sama, Sabah memiliki 73 kerusi DUN dengan purata pengundi 26,000 orang. Sarawak pula 82 DUN iaitu 24,000 bagi setiap kerusi."Bayangkan di Selangor itu overcrowded. Memang terlalu ramai orang, tapi bilangan kerusi pilihan raya sikit saja," katanya.Sebaliknya, Azmi berkata, negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor berada pada tahap boleh tahan, manakala Sabah dan Sarawak dianggap terlebih perwakilan."Sungguhpun Sabah dan Sarawak mewakili 16 peratus jumlah populasi penduduk tetapi kedua-dua negeri itu memiliki 25 peratus daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi Parlimen," katanya.Di sebalik mengakui hakikat bahawa Sabah dan Sarawak overrepresented, Azmi menegaskan perkara tersebut tidak perlu dipertikaikan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.Mengulas isu persempadanan semula, beliau menjelaskan bahawa SPR hanya berperanan melaksanakan kajian dan melukis semula sempadan kawasan pilihan raya selepas tempoh matang lapan tahun, manakala keputusan untuk menambah kerusi Parlimen atau DUN adalah sepenuhnya kuasa Parlimen dan DUN.Menurutnya, sama ada persempadanan dibuat dengan atau tanpa penambahan kerusi, tanggungjawab SPR adalah untuk memastikan saiz kawasan dalam sesebuah negeri menjadi lebih seimbang, sejauh yang dibenarkan undang-undang.Pada masa sama, beliau menegaskan prinsip fleksibiliti masih perlu dikekalkan dalam menangani jurang saiz pengundi antara kawasan bandar dan luar bandar, khususnya di negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak yang mempunyai keluasan geografi sangat besar."Kalau kawasan luar bandar itu terlalu luas tetapi bilangan pengundi kecil, kita perlu beri justifikasi yang munasabah."Jika dipaksa menyamakan bilangan pengundi, kawasan itu boleh menjadi terlalu besar dan tidak adil kepada wakil rakyat," katanya.Justeru, setiap perbezaan saiz kawasan perlu disertakan alasan yang kukuh dan boleh dijelaskan kepada rakyat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab SPR bagi memastikan proses persempadanan menjadi lebih baik dan diterima.Sarawak sudah layak untuk kajian semula persempadanan pilihan raya sejak 2023, sementara Sabah dijangka layak pada tahun ini dan Semenanjung selepas Mac 2026.Julai lalu, DUN Sarawak meluluskan rang undang-undang yang menyaksikan pertambahan 17 kerusi baharu, menjadikan keseluruhan sebanyak 99 kerusi DUN namun belum ada pengumuman mengenai kawasan terlibat.