'Ini titik tolak untuk saya berhenti ambil dadah'

KAJANG - "Saya harap ini titik tolak untuk saya berhenti ambil dadah."Demikian luahan seorang pemandu e-hailing yang didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ditahan dalam keadaan mencurigakan semasa Op Khas Bersepadu di Plaza Tol Sungai Ramal di sini pada Khamis.Operasi bermula jam 8 malam itu dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).Lelaki enggan dikenali berusia lingkungan 40-an itu mendakwa pernah beberapa kali ingin cuba berhenti daripada terjebak dadah selepas mula terjebak pada tahun 2021."Pada awalnya saya ambil (dadah) cuma untuk suka-suka...kawan bagi."Isteri tahu saya ada ambil dadah dan ini pertama kali kena tangkap. Ini 'endingnya' (penamatnya)," kata bapa kepada dua anak itu semasa ditemui pemberita di lokasi operasi di sini pada Khamis.Sinar Harian difahamkan, semasa ditahan pemandu itu dalam perjalanan dari Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk menghantar seorang pelajar universiti swasta pulang ke kampus.Penumpang wanita itu terpaksa turun dan mengambil khidmat e-hailing lain untuk meneruskan perjalanan.Operasi yang tamat pada jam 12 tengah malam itu turut mengesan pelbagai kesalahan lain antaranya motosikal yang diubah suai secara ekstrem tanpa brek belakang serta tayar sotong.Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pemeriksaan AADK ke atas 45 individu mendapati lapan lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.Menurutnya, selain itu, operasi telah bertindak mengambil tindakan ke atas 301 kenderaan dengan jumlah 422 notis dan 637 kesalahan hasil pemeriksaan 2,185 kenderaan."Notis ini melibatkan tindakan saman, larangan penggunaan kenderaan, arah periksa, penahanan kenderaan serta arah timbang."Kesalahan pula meliputi tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang banyak dikesan iaitu 230 kes, diikuti Lesen Kenderaan Motor (LKM) (102 kes), tiada perlindungan insurans (98 kes) dan selebihnya lain-lain kes," katanya.Beliau berkata, JPJ juga mengambil tindakan sitaan ke atas 16 kenderaan iaitu tiga kereta serta 13 motosikal."Pihak JSPT turut mengeluarkan 21 saman atas pelbagai kesalahan," ujarnya.Tegas Azrin, penguatkuasaan yang dilaksanakan bukan bertujuan untuk menghukum semata-mata, sebaliknya mendidik dan memastikan semua pengendali serta pemilik kenderaan perdagangan mematuhi spesifikasi teknikal, had muatan yang ditetapkan dan standard keselamatan jalan raya demi kepentingan bersama.