GEORGE TOWN – Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang mengancam untuk terjun dari sebuah jejambat (flyover) di Jalan Masjid Negeri, di sini, pada pagi Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 11.58 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 50-an dilaporkan berada di bahu flyover dalam keadaan berbahaya sebelum orang awam menghubungi pihak berkuasa.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi dan tiba enam minit kemudian.Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati lelaki tersebut mengalami kecederaan di bahagian kepala dan berada dalam keadaan emosi tidak stabil."Komander Operasi telah melakukan size-up dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap sebelum menjalankan usaha memujuk mangsa."Sebagai langkah keselamatan, jaring penyelamat turut dipasang di bahagian bawah flyover bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, operasi menyelamat dilakukan dengan kaedah memujuk serta mengalihkan perhatian mangsa sebelum berjaya ditahan dalam keadaan selamat."Mangsa kemudian diberikan rawatan awal oleh pasukan St John Ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut."Operasi yang melibatkan seramai 10 anggota termasuk penyelia itu menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.56 tengah hari," ujarnya.Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tular di media sosial beberapa keping gambar dan video memaparkan seorang lelaki dipercayai memanjat struktur flyover di Jalan Masjid Negeri, di sini.Tindakan lelaki berkenaan mencetuskan kebimbangan orang awam apabila dia dilihat berada di bahagian penghadang flyover, sekali gus menimbulkan kebimbangan kemungkinan individu terbabit bertindak di luar kawalan termasuk terjun dari situ.Difahamkan, kejadian itu menyebabkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan memperlahankan kenderaan, selain ada yang berhenti bagi melihat situasi tersebut.Ia menyebabkan jalan berkenaan sesak teruk berikutan satu lorong di bahagian bawah laluan terbabit terpaksa ditutup bagi pemasangan jaring penyelamat dan dikawal oleh anggota polis.