Armada Bersatu cipta naratif tutup kelemahan sendiri

SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kenyataan pimpinan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang cuba menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim takut untuk membubarkan Parlimen lebih awal itu sebagai dangkal.Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, kenyataan tersebut sebaliknya mencerminkan kepanikan politik sebuah parti yang dilihat semakin hilang relevan dan ketandusan hala tuju."Cubaan mengaitkan dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kononnya kegagalan kepimpinan nasional adalah helah untuk menutup kegagalan Bersatu membina keyakinan rakyat."Apabila sokongan semakin merosot, maka naratif palsu dicipta untuk mengalih perhatian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada dakwaan Ketua Penerangan Armada, Harris Idaham Rashid yang mendakwa Anwar tidak berani membubarkan Parlimen lebih awal susulan keputusan pada PRN Sabah menyebabkan beliau tidak yakin dengan tahap sokongan sedia ada.Beliau turut menyindir Bersatu yang pernah mentadbir negara tanpa hala tuju fiskal dan meninggalkan defisit besar, kini dilihat cuba mengajar soal strategi pembubaran Parlimen."Berbeza dengan kerajaan tebuk atap yang dipimpin Bersatu sebelum ini yang gagal mengawal ekonomi, gagal menstabilkan politik dan gagal menjaga kebajikan rakyat, Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar sedang membetulkan kerosakan yang ditinggalkan oleh mereka."Ekonomi hari ini berkembang secara konsisten, inflasi terkawal dan keyakinan pelabur kembali meningkat. Ini fakta, bukan persepsi," katanya.Jelas Danish, keputusan Anwar untuk tidak membubarkan Parlimen adalah keputusan bertanggungjawab, demi kestabilan ekonomi dan kepentingan rakyat."Hanya pemimpin yang gagal mentadbir sahaja melihat pilihan raya sebagai alat menyelamatkan diri dan bukannya amanah besar kepada negara."Cubaan Bersatu untuk mencipta persepsi negatif terhadap Perdana Menteri hanyalah jeritan panik sebuah parti yang semakin ditinggalkan rakyat," ujarnya.Beliau turut menasihatkan Armada Bersatu untuk menghentikan sandiwara politik dan memberi laluan kepada kerajaan untuk terus mentadbir negara.