Hoki dalam dewan: Banyak kerja rumah menjelang Sukan SEA 2027

KEGAGALAN skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara menjelmakan pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 jelas menunjukkan masih terdapat jurang yang perlu dirapatkan, khususnya dalam aspek pengurusan tekanan dan konsistensi di pentas final.Pada Jumaat, skuad lelaki sekali lagi tersingkir di tangan Indonesia, kali ini menerusi penalti shoot-out selepas terikat 4-4 pada masa sebenar.Episod ini mengulangi skrip kekecewaan dua tahun lalu di Kemboja, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kesiapsiagaan mental pasukan ketika berdepan situasi penentuan.Keupayaan mengawal permainan dalam detik genting dan ketajaman dalam penalti menjadi aspek yang wajar diberi perhatian serius.Bagi skuad wanita pula, kekalahan tipis 3-4 kepada tuan rumah Thailand mendedahkan kelemahan dalam mengekalkan kelebihan dan disiplin bertahan.Walaupun mempamerkan kebangkitan awal serta keberanian menyerang, kegagalan mengawal tempo permainan selepas mendahului memberi ruang kepada lawan untuk bangkit dan menentukan keputusan perlawanan.Isu pengadilan yang dibangkitkan oleh kapten skuad lelaki, Muhammad Najmi Farizal Jazlan, mencerminkan kekecewaan pemain, namun pasukan juga perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan di gelanggang antarabangsa.Keupayaan menyesuaikan diri dengan tekanan luar termasuk keputusan pengadil, merupakan sebahagian daripada kematangan pasukan.Dengan Sukan SEA 2027 bakal berlangsung di Malaysia, peluang untuk menebus kekecewaan terbuka luas.Namun, kejayaan itu menuntut persiapan lebih menyeluruh daripada pembangunan taktikal, latihan khusus situasi penalti, pengukuhan mental pemain, hinggalah pengurusan perlawanan ketika mendahului.Kekecewaan di Bangkok wajar dijadikan cerminan untuk membina skuad yang lebih mantap dan berdaya saing, agar kelebihan beraksi di laman sendiri pada 2027 mampu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memburu pingat emas yang sekian lama dinantikan.