SHAH ALAM - Cadangan menambah kawasan Parlimen baharu wajar dipertimbangkan bagi memastikan kebajikan rakyat dapat diurus dengan lebih berkesan terutama di kawasan yang luas dan padat penduduk.Pengasas Pertubuhan Amal Uncle Kentang Malaysia, Kuan Cheng Heng berkata, persempadanan semula perlu dilaksanakan kerana terdapat kawasan yang terlalu besar, sekali gus menyukarkan wakil rakyat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keperluan rakyat."Memang ada keperluan kerana sesetengah kawasan terlalu besar, menyebabkan ada Parlimen tak dapat jaga sepenuhnya. Jadi, persempadanan semula memang sangat diperlukan."Jika satu parlimen merangkumi kawasan terlalu luas, peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pelbagai keperluan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Justeru, beliau yang popular dengan gelaran Uncle Kentang berpandangan penambahan kerusi Parlimen boleh meningkatkan jumlah peruntukan bagi menampung keperluan kawasan.Tambahnya, kawasan Parlimen dengan jumlah penduduk tertinggi wajar dipertimbangkan untuk penambahan kerusi baharu agar peruntukan dapat diagihkan dengan lebih cepat dan tersusun.Menurutnya, tumpuan juga dapat diberikan kepada kawasan lebih kecil dan terurus, sekali gus memastikan kebajikan rakyat dilaksanakan lebih menyeluruh.