SHAH ALAM – Keengganan melaksanakan pengagihan semula kerusi Parlimen secara berkala telah menyebabkan Malaysia merekodkan peningkatan jumlah kerusi luar biasa sebanyak 54 peratus dalam tempoh 40 tahun.Oleh itu, penganalisis politik dari Universiti Sunway, Profesor Dr Wong Chin Huat menolak cadangan menambah kerusi sebagai penyelesaian kepada masalah perwakilan yang tidak seimbang.Katanya, tiada asas untuk menambah kerusi Parlimen semata-mata kerana populasi rakyat yang bertambah."Malaysia mencatatkan pertumbuhan berkala daripada 144 kerusi Parlimen pada 1965 selepas perpisahan dengan Singapura hingga mencapai 222 kerusi pada 2005."Ini berlaku kerana kita enggan menjalani pengagihan semula, enggan kurangkan kerusi dari negeri yang peratusan penduduknya telah merosot kerana penyandang tidak mahu hilang kerusi, manakala pengundi tidak mahu hilang peruntukan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.Mengambil contoh Amerika Syarikat (AS), Chin Huat menjelaskan jumlah 435 kerusi Dewan Rakyat negara itu yang ditetapkan pada 1911, kekal hingga kini walaupun populasi rakyatnya meningkat tiga kali ganda.Menurutnya, di AS setiap 10 tahun selepas banci, kerusi dipindahkan dari negeri yang peratusan penduduknya menurun seperti New York kepada negeri yang penduduknya meningkat seperti Texas. Proses itu dikenali sebagai pengagihan semula atau reapportionment."Jumlah kerusi Parlimen di kebanyakan negara kekal lebih kurang sama kerana pengagihan semula dijalankan secara berkala tetapi situasinya berbeza di negara kita."Populasi akan terus meningkat walaupun kerusi ditambah. Jadi, adakah kita akan terus menambah kerusi pada 10 atau 20 tahun dari sekarang?" soal beliau.Mengulas lanjut, Chin Huat menegaskan pembahagian kerusi Parlimen ketika ini amat tidak adil, sebagai contoh seorang ahli Parlimen di Selangor secara purata mewakili 174,225 pengundi (data Mei 2024), manakala ahli Parlimen di Pahang hanya mewakili 82,764 pengundi. Ini kerana katanya, Pahang diberi tiga kerusi berlebihan berbanding jumlah pengundinya, sementara Selangor pula kurang 13 kerusi.Bagaimanapun, menurutnya, jika pengagihan semula kerusi Parlimen secara berkala tidak mahu dilakukan dan penambahan kerusi tetap dilakukan, ia harus memenuhi prinsip keadilan dan pragmatisme."Jika 10 peratus atau 22 kerusi ditambah dan pengagihan kerusi antara Semenanjung dan Borneo dikekalkan pada nisbah sekarang, 75 peratus: 25 peratus, maka Semenanjung dapat 16 kerusi dan Borneo enam kerusi."Di Semenanjung, tanpa mengurangkan kerusi di negeri menerima lebihan seperti Pahang dan Perlis, 16 kerusi tambahan perlu diagihkan kepada negeri yang selama ini kekurangan iaitu Selangor (9), Terengganu (2), Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, masing-masing satu."Dengan pengagihan tersebut, purata pengundi bagi setiap kawasan di negeri-negeri Semenanjung kecuali Perlis dan Putrajaya, akan lebih sekata iaitu antara 85,366 (Perak) hingga 123,644 (Selangor)," katanya.