‘Ibu jaga kami semasa hidup hingga meninggal dunia’

GUA MUSANG – "Ibu jaga kami semasa hidup hingga meninggal dunia."Demikian luahan pilu Nor Amni Faqihah Mohd Rizlan, 20, anak kedua daripada lima beradik yang kehilangan ibu tersayang, Rohaya Jaafar, 42, dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan lori pada 15 Mei lalu.Menurut Nor Amni, ibunya hanya seorang suri rumah namun tidak pernah menyangka pemergiannya telah melayakkan mereka adik-beradik menerima manfaat sebanyak RM158,400 daripada hasil menyimpan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Plus, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).Katanya, arwah ibu telah membuka akaun tersebut untuk dirinya serta dua adik lelaki, Mohamad Darish Haziq, 14, dan Mohamad Dayyan Harraz, 9, pada 26 Disember tahun lalu."Dua lagi adik-beradik kami telah meninggal dunia, abang sulung pada 2021 akibat kemalangan ketika berusia 17 tahun, manakala adik bongsu pada 2022 ketika berusia sembilan bulan disebabkan sakit paru-paru."Ibu sanggup mengorbankan duit belanja diberikan oleh ayah yang bekerja sebagai pemandu lori dengan membuka akaun di bawah pakej Intan, dengan komitmen RM30 sebulan bagi setiap akaun, iaitu RM20 simpanan dan RM10 caruman takaful. Jumlah keseluruhan yang dibelanjakan sekitar RM90 sebulan untuk kami bertiga," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Chiku 3 di sini sempena Program Ziarah Kasih Simpan SSPN.Pada program berkenaan, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menyerahkan surat kelulusan dan replika kad manfaat perlindungan takaful Simpan SSPN Plus kepada keluarga Allahyarhamah Rohaya.Turut serta, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim yang mengadakan panggilan video bersama keluarga tersebut.Nor Amni Faqihah berkata, walaupun ibu sudah tiada, kebajikan mereka tetap terpelihara melalui manfaat simpanan dan perlindungan takaful yang ditinggalkan."Duit ini akan digunakan untuk perbelanjaan persekolahan dua adik saya. Sekarang, urusan makan minum dan persekolahan adik-adik, saya uruskan sepenuhnya kerana ayah sukar memberi perhatian sepenuh masa," katanya yang sanggup berhenti kerja sebagai pembantu kedai dan menangguhkan hasrat menyambung pengajian.Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, melalui caruman takaful RM30 sebulan bagi tiga anak arwah Rohaya, dia sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah mendapat manfaat perlindungan takaful (kematian akibat kemalangan) sebanyak RM50,000 bagi setiap akaun dengan jumlah keseluruhan yang diterima sebanyak RM150,000.Tambah beliau, turut diterima ialah khairat kematian berjumlah RM8,400 (RM2,800 untuk setiap akaun) dan jumlah keseluruhan manfaat yang diterima oleh pendeposit adalah sebanyak RM158,400."Program Ziarah Kasih Simpan SSPN ini mencerminkan keprihatinan PTPTN terhadap pendeposit dan keluarga mereka."Penyerahan manfaat takaful ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit dalam meneruskan kelangsungan hidup serta memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi saat kesukaran," katanya.Beliau memberitahu, disebalik peranan Simpan SSPN sebagai simpanan pendidikan, perlindungan takaful yang disediakan juga merupakan satu bentuk jaminan dan sokongan kepada pendeposit serta keluarga yang ditinggalkan.PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ ilat kekal menyeluruh kepada mereka.Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat tambahan seperti manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta.Selain itu, ia juga memberikan manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada pakej yang dipilih dan Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih oleh pendeposit.Maklumat lanjut Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN.