KUALA LUMPUR - Atomy Malaysia Sdn Bhd sekali lagi gagal dalam saman di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, terhadap dua pempengaruh media sosial, Afyan dan Cikgu Fadli, berkaitan dakwaan hantaran media sosial berunsur fitnah mengenai produk dan agenda syarikat itu, empat tahun lalu.Hakim, Norakhmar Mohd Sani memutuskan demikian selepas menolak saman syarikat itu selaku plaintif terhadap Afyan Mat Rawi, 45, yang juga penasihati kewangan dan guru, Mohd Fadli Mohamed Salleh, 42, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.Dalam prosiding yang dibuat secara dalam talian, hakim berkata, keputusan dibuat selepas meneliti keterangan dokumen, saksi-saksi, hujahan bertulis dan balasan daripada semua pihak."Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah membuat keputusan untuk menolak tuntutan plaintif terhadap defendan-defendan."Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM25,000 kepada setiap defendan," kata hakim.Dalam prosiding berkenaan, peguam, Syahidah Hanum Mohd Ghazali, Norazali Nordin dan Nurul Nisa' Khalid hadir mewakili Afyan sementara Nor Zabetha Muhamad Nor bagi pihak Mohd Fadli.Sementara itu, berdasarkan kenyataan di laman sosial Facebook, Afyan mengucapkan syukur di atas kemenangan tersebut."Alhamdulillah, kami menang! Mahkamah menolak saman fitnah Atomy Malaysia terhadap saya dan Cikgu Fadli Salleh."Terima kasih kepada barisan peguam kami yang banyak membantu untuk kemenangan kes ini," katanya yang kemudian berkongsi gambar lama, sewaktu mediasi di mahkamah di sini.Berdasarkan dokumen diperoleh, plaintif merupakan sebuah syarikat pemasaran pelbagai peringkat (MLM) yang terlibat dalam perniagaan dalam talian bagi produk kosmetik, kesihatan dan barangan isi rumah menggunakan jenama ‘Atomy’.Sebelum ini, plaintif yang mempunyai 1.6 juta ahli, merangkumi 960,000 pengguna dan 640,000 pengedar, memfailkan saman terhadap dua defendan terbabit atas dakwaan mereka telah membuat hantaran berunsur fitnah pada empat tahun lalu.Plaintif mendakwa kenyataan defendan pertama pada 29 April dan 15 Mei 2021 memberi makna bahawa status halal produk Atomy dicurigakan kerana ia dikeluarkan dari kilang yang sama yang mengilang produk yang mempunyai kandungan haram seperti babi.Sedangkan katanya, pernyataan itu tidak benar, salah dan merupakan satu pengeliruan fakta yang tanpa asas.Ia juga mendakwa, kenyataan defendan pertama membawa maksud ejen-ejennya yang menyambut hari raya menggunakan duit komisen hasil ejen syarikat MLM yang menjalankan Missionari Kristianisasi sebagai haram dan harus dihukum.Sementara defendan kedua, syarikat itu mendakwa, kenyataan fitnah dibuat pada 23 Mac dan 24 Mei 2021, membawa maksud agenda syarikat itu menyokong program Kristianisasi selain kononnya kenyataan itu disahkan oleh Mufti Perlis maka patut dijauhi oleh orang Islam.Plaintif mendakwa kenyataan defendan merujuknya sebagai sebuah syarikat Kristian yang berpegang kepada fahaman agama serta menggalakkan penganutan Kristianisasi di Malaysia menerusi slogan ‘Business as Mission’.