'Kes rogol suka sama suka: Remaja perempuan boleh dihukum' - Peguam

SHAH ALAM – Remaja perempuan berusia 16 tahun ke bawah boleh dihukum mengikut Seksyen 128 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan jika didapati bersalah dalam kes rogol suka sama suka seandainya kes itu dibawa ke Mahkamah Syariah.Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Seksyen 128 enakmen tersebut memperuntukkan hukuman bagi pesalah muda."Remaja perempuan berkenaan boleh didakwa di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan tetapi saya tidak dapat menyebut seksyen yang berkaitan kerana ia bergantung kepada pembuktian dan fakta kes."Bagaimanapun jika pesalah muda hukuman hanya boleh dijatuhkan mengikut Seksyen 128 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan," katanya kepada Sinar Harian.Ditanya sama ada pelaksanaan itu bercanggah dengan Akta Kanak-Kanak 2001, Zainul Rijal yang juga Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan, akta terbabit tidak terpakai kepada Mahkamah Syariah."Definasi mahkamah dalam Seksyen 2 Akta Kanak Kanak 2001 tidak termasuk Mahkamah Syariah. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan pula tidak menyatakan kanak kanak tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah."Jadi kalau mahu bawa kes sebegini ke Mahkamah Syariah, undang-undang syariah sedia ada di Kelantan sudah memadai tanpa perlu dibuat pindaan undang-undang," ujarnya.Sementara itu, Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, dengan perkembangan terbaru itu, setakat ini Kelantan menjadi negeri pertama yang akan melaksanakan pendakwaan terhadap kes rogol suka sama suka melibatkan mangsa bawah umur.Katanya, ia kerana dalam kebanyakan kes rogol bawah umur, yang banyak dituduh adalah pemangsa sahaja manakala mangsa yang bersetuju melakukan perbuatan berkenaan pula terlepas daripada pendakwaan.