‘Sahabat Sekolah IWK’ didik pelajar

Apa itu kumbahan? Soalan orang awam terutama anak-anak muda yang kurang memahami atau ambil peduli apa yang akan berlaku selepas manusia mengepam tandas.Menyedari hakikat itu, syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah mengorak langkah dalam menyantuni pelajar sekolah untuk menyemai kesedaran mengenai kepentingan sistem pembetungan negara demi kelestarian alam sekitar.Komitmen IWK dijalankan melalui salah satu inisiatiftanggungjawab sosial korporat (CSR), program ‘Sahabat Sekolah IWK’ bertujuan untukmendekati dan menyuntik semangat mencintai alam sekitar dalam kalangan generasi muda terutamanya pelajar melalui perkongsianmengenai kepentingan sistem pembetungan yang cekap.Ketua Jabatan Komunikasi Korporat IWK, Wan Esuriyanti Wan Ahmad berkata, sejak Sahabat Sekolah IWK dilaksanakan awal tahun ini, seramai kira-kira 17,000 pelajar dari 22 sekolah telah menerima manfaatnya."Pendekatan pendidikan kami adalah dengan mengadakan program yang bukan sahaja memberi pengetahuan asas kepada pelajar, malah membantu pihak sekolah dan guru-guru dalam menjalankan pendidikan di luar kelas," kata Wan Esuriyanti.Menurut Wan Esuriyanti, program itu juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan sokongan pendidikan jangka panjang kepada sekolah- sekolah terutamanya di luar bandar sekali gus menyokong aspirasinya untuk mengalakkan keterlibatan aktif antara agensi dan masyarakat.Melalui program Sahabat Sekolah IWK, pihak syarikat telah menyediakan sumbangan makanan sihat melalui penyediaan sarapan pagi, sesi interaktif kuiz dan ceramah mengenai jenis-jenis sistem pembetungan di Malaysia dan peranannya.Pada masa yang sama, IWK juga menjalankan perkhidmatan pengosongan tangki septik, mencantikkan landskap kawasan sekolah terlibat atau menjalankan penambahbaikan fasiliti sekolah seperti mengecat bangunan dan sebagainya."Penganjuran program sebegini membuktikan komitmen IWK dalam menyokong pendidikan holistik kerajaan untuk mendidik anak-anak muda."Kami berharap program ini dapat dijalankan lagi pada tahun hadapan dengan kerjasama lebih banyak sekolah di seluruh negeri," tambah Wan Esuriyanti.Sementara itu, menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangaan Taman Skudai Baru 2, Shukor Buang, program Sahabat Sekolah IWK telah memberi manfaat kepada murid-murid dan guru."Pogram berkenaan memberi pemahaman mengenai kepentingan penjagaan sistem pembetungan negara dan merapatkan hubungan syarikat dengan pihak sekolah," kata Shukor.Program Sahabat Sekolah IWK merupakan salah satu aktiviti CSR syarikat di bawah semangat IWK Cares atau IWK Prihatin yang menumpukan kepada tiga pendekatan utama iaitu kepentingan alam sekitar, hubungan komuniti dan pemerkasaan pendidikan atau pengetahuan.