Kraftangan bawang unik penuh nilai estetika

MUAR – Kreativiti seorang wanita tempatan berjaya menarik perhatian apabila hasil kraftangan yang diusahakannya tampil sebagai pilihan hadiah unik untuk pelbagai majlis dan acara keraian.Pemilik Kraftangan Bawang, Zai Osman, 56, berkata, bawang digubahnya menjadi kraftangan unik dan ringkas tetapi mempunyai nilai estetika serta sentuhan peribadi.Beliau berkata, setiap gubahan dihasilkan dengan kemasan dan susunan rapi, menjadikannya sesuai dijadikan cenderahati untuk majlis perkahwinan, akikah, hari jadi serta pelbagai acara istimewa.Menurut Zai, idea untuk menghasilkan kraftangan bawang sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu.Beliau pernah mempelajari teknik asas pembuatan kraftangan tersebut sejak beberapa tahun lalu, namun pada ketika itu ia sekadar dilakukan sebagai minat peribadi tanpa perancangan untuk dijadikan perniagaan.Malah, Zai juga pernah berkongsi kemahiran tersebut dengan orang lain apabila beliau diberi peluang mengajar cara membuat kraftangan bawang kepada golongan wanita melalui kelas dan sesi pembelajaran tertentu, termasuk di peringkat komuniti.⁠"Dulu saya belajar dan ajar sekadar berkongsi ilmu. Lama juga idea ini disimpan. Tapi bila makin ramai yang bertanya dan berminat, barulah saya berasa yakin untuk jadikan ia sebagai satu usaha yang lebih serius," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.Tambah beliau, selepas mula menerima tempahan, sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana ramai pelanggan mahukan sesuatu yang berbeza daripada doorgift biasa."Keunikan konsep serta kemasan yang teliti menjadikan hasil kraftangan tersebut mudah diingati oleh penerima," katanya lagi.Apa yang lebih membanggakan, Kraftangan Bawang turut mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelanggan dalam kalangan artis tempatan, sekali gus membuktikan hasil kraftangan ini mempunyai tarikan tersendiri dan diterima secara meluas.Zai berkata, setiap tempahan diberi perhatian teliti dari segi kemasan dan kualiti supaya hasil akhir benar-benar memenuhi jangkaan pelanggan.⁠"Saya anggap setiap hasil kerja ini sebagai satu amanah. Bila pelanggan puas hati dan hargai hasil kerja kita, itu yang paling memberi makna dan semangat untuk saya teruskan," ujarnya.Dengan sambutan yang diterima serta pengalaman yang dimiliki, Kraftangan Bawang dilihat berpotensi untuk terus berkembang sebagai salah satu pilihan hadiah unik yang mencerminkan kreativiti tempatan dari Muar.Maklumat lanjut mengenai Kraftangan Bawang boleh didapati melalui https://ezdigitalstudio.my/zaimuar dan https://www.tiktok.com/@zaimuar