Suspek utama kes mayat wanita dalam beg direman 7 hari

SEREMBAN - Suspek utama kes penemuan mayat wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau pada Khamis, direman tujuh hari bermula dari hari ini.Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Farha Sulaiman di Mahkamah Majistret di sini pada Sabtu.Suspek berumur 51 tahun itu dibawa polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau dan tiba kira-kira jam 9.45 pagi tadi diwakili peguam Sean Dudley.Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Muhammad Idzam sebelum ini melaporkan lelaki berkenaan ditahan di kawasan Genting Sempah, kurang 24 jam selepas penahanan suspek pertama di Melaka, petang semalam.Suspek lelaki berumur 41 tahun itu direman hingga Khamis.Dalam pada itu, turut dilaporkan identiti sebenar mayat wanita terbabit masih belum dapat dikenal pasti berikutan jasad mangsa yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari. - Bernama