DETIK simbolik Malaysia melangkah sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan diraikan dengan pancaran cahaya Jalur Gemilang apabila bangunan ikonik di empat negeri penganjur bermandi warna kebangsaan bermula malam ini.Inisiatif itu dilaksanakan serentak dengan upacara penyerahan bendera Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang berlangsung pada majlis penutup Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menandakan penggiliran rasmi Malaysia sebagai penganjur temasya sukan dwitahunan terbesar di Asia Tenggara.Upacara berprestij berkenaan akan menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, menerima bendera SEAGF sebagai simbol amanah penganjuran edisi ke-34, dua tahun dari sekarang.Sebagai tanda sokongan dan keterujaan nasional, sebanyak 10 bangunan ikonik di Kuala Lumpur, Kuching, Johor Bahru dan Pulau Pinang akan diterangi cahaya merah, kuning, biru dan putih bermula seawal jam 7 malam.Antara mercu tanda utama yang terlibat ialah Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KOMTAR, Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Jambatan Satok, Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara, Darul Hana Musical Fountain Kuching, serta beberapa lokasi strategik di sekitar Iskandar Puteri, Johor.Turut menjadi tumpuan ialah Stadium Nasional Bukit Jalil, yang akan disinari warna Jalur Gemilang sebagai simbol kesepaduan sukan negara, memandangkan ia antara gelanggang paling ikonik dan bersejarah di Malaysia.Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Abdul Rashid Yaakub, menegaskan komitmen penuh keempat-empat negeri penganjur itu sebagai isyarat awal yang positif menjelang penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027.Menurutnya, pencahayaan bangunan ikonik itu membawa simbolik penting kepada sambutan Malaysia sebagai tuan rumah buat kali ketujuh, selain mencerminkan kesediaan negara menyambut kehadiran atlet dan delegasi serantau."Pencahayaan dengan warna Jalur Gemilang ini melambangkan keterujaan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA."Kita mahu rakyat dan peminat sukan turut merasai kegembiraan serta semangat kebangsaan menjelang temasya ini," katanya dalam satu kenyataan.Selain elemen pencahayaan, paparan grafik khas berkaitan penggiliran Malaysia sebagai tuan rumah turut akan disiarkan menerusi skrin LED di lokasi strategik di keempat-empat bandar utama berkenaan.Majlis penutup Sukan SEA Thailand 2025 dijadualkan bermula jam 7 malam di Stadium Rajamangala, Bangkok, dan Malaysia turut diberi ruang mempersembahkan segmen penutup sebagai tuan rumah edisi seterusnya.Persembahan itu akan digerakkan oleh tiga artis tempatan, Mimi Fly, Amir Jahari dan Marsha Milan, disokong oleh 60 penari pelbagai etnik, sekali gus menampilkan wajah kepelbagaian budaya Malaysia di pentas serantau.