Banglo jadi makmal haram sindiket dadah RM1.53 bilion

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan banglo tiga tingkat sebagai tempat pemprosesan dadah terbongkar susulan tangkapan enam individu di Lembah Klang pada Selasa.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menahan tiga lelaki warga tempatan dan tiga wanita warga asing berusia 24 hingga 39 tahun selain merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.53 bilion dalam Ops Gaharu."Serbuan pertama, kita memberkas kesemua suspek di sebuah rumah dan merampas enam botol cecair disyaki mengandungi dadah jenis methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) anggaran berat 3 kilogram (kg)," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.Hussein berkata, serbuan kedua di sebuah premis Taman Taynton View, Cheras pula membawa kepada rampasan serbuk putih dan cecair disyaki dadah jenis kokain dengan jumlah anggaran 738kg serta pelbagai peralatan memproses dadah."Kita turut menjalankan serbuan di sebuah premis perindustrian di Sungai Chua, Kajang dan merampas serbuk serta cecair disyaki dadah jenis ketamin bersama peralatan memproses dadah."Serbuan seterusnya di Taman Industri Mega, Bandar Teknologi Kajang, kita rampas 28 guni mengandungi 1,400 bungkusan plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat lebih 1.402kg," katanya.Hussein berkata, suspek pertama berperanan sebagai ketua penjaga stor dan pembantu ahli kimia, manakala dua lagi suspek merupakan orang kepercayaannya yang menguruskan rumah kediaman dan premis perniagaan yang dijadikan makmal haram memproses dadah."Modus operandi sindiket yang aktif sejak April lalu menjadikan rumah kediaman dan premis perniagaan sebagai lokasi memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa," katanya.Hussein berkata, polis turut menyita beberapa kenderaan termasuk kereta dan lori di bawah Akta Dadah Berbahaya Pelucuthakan Harta 1988 dengan nilai sitaan keseluruhan dianggarkan RM389,000."Ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek positif dadah, manakala hanya seorang mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah."Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.