Suami maut, isteri parah ketika bermotosikal untuk hadiri kenduri kahwin

JERANTUT - Niat pasangan suami isteri untuk menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Jitra, Kedah tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 13, Jalan Jerantut-Temerloh, berhampiran Kampung Tebing Tinggi di sini pada petang Jumaat.Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, penunggang motosikal berkuasa tinggi, Noor Aizat Abu Bakar, 44, yang bekerja sebagai pemandu di Hospital Jerantut, maut di tempat kejadian manakala isterinya, Noorhashimah Ramlee, 44, cedera parah.Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mohd Azahari Muhktar berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah Jerantut menghala ke Temerloh."Setibanya di tempat kejadian, pemandu SUV dikatakan membuat pusingan U dari lorong kiri ke kanan, menyebabkan perlanggaran berlaku."Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah dan kini masih menerima rawatan lanjut di Hospital Jerantut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Mohd Azahari berkata, kemalangan ini berpunca daripada kecuaian pemandu SUV yang membuat pusingan U di tempat larangan."Kawasan kejadian merupakan jalan lurus tiga lorong dua hala dengan permukaan tar yang rata dan kering, selain cuaca pada waktu kejadian dilaporkan baik," katanya.Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.