Cina bukan tolak GRS tapi GRS tak tanding di kawasan Cina-Armizan

PAPAR – Dakwaan bahawa masyarakat Cina menolak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu disifatkan tidak tepat kerana gabungan itu tidak bertanding di kawasan berkenaan.Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa GRS tidak bertanding di kawasan majoriti masyarakat Cina, sebaliknya kerusi berkenaan ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH).Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, perbandingan keputusan undi menunjukkan calon GRS turut menerima sokongan masyarakat Cina di pusat daerah mengundi (PDM) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi."Saya ingin maklumkan bahawa GRS tidak bertanding di kawasan-kawasan majoriti kaum Cina, sebaliknya rakan kita daripada PH yang bertanding."Jika kita lihat di Papar, khususnya di DUN Pantai Manis, terdapat satu PDM iaitu PDM Bandar yang majoritinya masyarakat Cina. Di PDM ini, lebih lima pilihan raya sebelum ini parti kita tewas, termasuk ketika saya bertanding pada PRU lalu. Walaupun ada peningkatan, namun masih tewas."Namun, Alhamdulillah, dalam pilihan raya kali ini, kerusi majoriti masyarakat Cina di DUN Pantai Manis yang ditandingi calon GRS berjaya dimenangi selepas tujuh pilihan raya," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di Dewan Terbuka Perpustakaan, di sini, pada Sabtu.Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai trend penolakan masyarakat Cina terhadap parti kerajaan dalam PRN lalu.Mengulas lanjut, Armizan berkata, untuk menyatakan secara keseluruhan bahawa masyarakat Cina menolak GRS atau rakan kerjasama adalah kurang tepat."Apa yang berlaku ialah di kawasan tertentu rakan kita, khususnya PH dan DAP, yang tewas," katanya.Bagaimanapun, Armizan berkata keputusan pilihan raya itu perlu diterima dengan hati terbuka kerana ia mungkin memberi isyarat kepada perkara yang memerlukan penambahbaikan bagi membina semula keyakinan rakyat."Bagi saya, kita perlu menerima dan menghormati keputusan ini serta melihat apa yang perlu ditambah baik. Pilihan raya sudah berakhir dan kerajaan telah terbentuk, dengan GRS sebagai teras kerajaan Sabah."Kita adalah kerajaan untuk setiap rakyat Sabah, bukan hanya kepada mereka yang mengundi kita. Sama ada mereka menyokong kita atau tidak, itu hak demokrasi mereka, tetapi apabila kerajaan dibentuk, maka kita adalah kerajaan untuk semua," katanya.Pada PRN17 lalu, kesemua lapan kerusi yang ditandingi DAP daripada PH mengalami kekalahan apabila tiada satu pun kerusi di kawasan majoriti masyarakat Cina berjaya dipertahankan.