Road to Vendetta angkat sisi gelap dunia pembunuh upahan

FILEM aksi Road to Vendetta, hasil kerjasama Hong Kong dan Jepun, telah mula ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 11 Disember lalu.Ditulis dan diarahkan oleh pengarah muda Hong Kong, Njo Kui Ying, naskhah ini mengambil masa hampir tujuh tahun untuk dibangunkan, sekali gus menampilkan pendekatan penceritaan yang rapi serta penekanan kuat terhadap visual dan suasana.Filem tersebut menandakan kemunculan sulung pelakon Hong Kong, Jeffrey Ngai, sebagai teraju utama di layar perak. Kehadirannya menarik perhatian ramai, khususnya peminat filem Asia, yang melihat aura klasik pada lakonannya, mengingatkan kepada bintang Hong Kong era awal 2000-an.Jeffrey turut hadir ke Kuala Lumpur bersempena tayangan filem ini, sekali gus menjadi kunjungan pertamanya ke Malaysia baru-baru ini.Dari sudut pencapaian industri, Road to Vendetta menerima lima pencalonan di Golden Horse Awards ke-62, termasuk kategori Reka Bentuk Aksi Terbaik, Kesan Bunyi Terbaik, Kesan Visual Terbaik, Arah Seni Terbaik dan Rekaan Kostum Terbaik. Pencalonan ini mencerminkan kekuatan aspek teknikal dan mutu produksi yang diketengahkan dalam filem berkenaan.Jeffrey digandingkan dengan pelakon Jepun, Sara Minami, yang sebelum ini dikenali menerusi drama Nevertheless: The Shape of Love dan From Me to You: Kimi ni Todoke.Dalam filem ini, kedua-dua watak bermula sebagai orang asing yang dipertemukan melalui urusan jual beli, sebelum terheret ke dalam kerjasama yang tidak dirancang. Perbezaan bahasa dan latar budaya menjadi sebahagian daripada dinamika hubungan mereka di layar.Road to Vendetta mengisahkan Assassin No. 4, seorang pembunuh upahan profesional yang kehidupannya berubah selepas terlibat dengan seorang wanita misteri yang dibelenggu dendam.Di sebalik babak aksi yang sarat dengan ketegangan, filem ini turut mengangkat persoalan tentang nilai kemanusiaan, empati dan pilihan moral dalam dunia yang dipenuhi keganasan.Identiti Hong Kong diterapkan secara kreatif, antaranya melalui penggunaan slip pesanan restoran sebagai sistem kod rahsia, selain babak pertarungan di atas tram ikonik Hong Kong. Elemen ini memberi sentuhan lokal yang kuat tanpa menenggelamkan naratif utama.Rekaan aksi diketuai oleh pengarah aksi Jepun, Koichi Sakamoto, yang terkenal menerusi francais Kamen Rider. Koreografi pantas dan tajam digabungkan dengan gaya aksi klasik Hong Kong, manakala barisan pelakon sokongan termasuk Chu Pak Him dan Rosa Maria Velasco turut mengukuhkan lapisan dramatik filem ini.Secara keseluruhan, Road to Vendetta tampil sebagai sebuah filem aksi silang budaya yang menekankan suasana, ketegangan psikologi dan mutu teknikal, di samping mengajak penonton merenung sisi kemanusiaan dalam dunia yang gelap dan penuh konflik.