KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan 270 sindiket pengedaran dadah menerusi 609 operasi di seluruh negara sejak Januari hingga Khamis lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, ini sekali gus membawa kepada penahanan 737 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan."Berdasarkan hasil risikan kita berjaya menyerbu 19 makmal dadah haram dengan penahanan 52 individu termasuk empat ahli kimia," katanya semasa sidang akhbar berhubung kejayaan Op Gaharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.Hussein berkata, hasil operasi itu menyaksikan rampasan dadah dan racun seberat 215 tan dengan nilai pasaran gelap dianggarkan mencecah RM3.1 bilion."Dalam tempoh sama, sebanyak 234,567 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, melibatkan tangkapan seramai 255,248 individu."Daripada jumlah itu, 157,648 kes atau 67 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah," katanya.Menurutnya, JSJN turut melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket dadah apabila aset bernilai RM141 juta disita manakala RM29 juta lagi dilucuthakkan."Tindakan ini bagi memastikan keuntungan haram hasil aktiviti jenayah tidak kembali digunakan untuk memperkukuh rangkaian sindiket," jelasnya.Beliau berkata, seramai 808 individu turut ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi memutuskan rangkaian sindiket dan menghalang mereka daripada kembali terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah."Tindakan tegas turut diambil di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap 9,512 penagih."Hukuman yang dikenakan melibatkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan sehingga tiga kali."Langkah berterusan ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah indeks yang dilakukan oleh penagih dadah," katanya.Selain itu, sepanjang tahun ini, sebanyak 15 pelupusan barang kes dadah telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan dadah dan racun yang dilupuskan mencecah 9,822 kilogram (kg)"Tiga jenis dadah utama berdasarkan berat tertinggi yang dilupuskan ialah methamphetamine seberat 1,591 kg, ganja (902 kg) dan heroin (681 kg)," ujarnya.