Seludup dadah guna bot nelayan, JSJN kesan tiga modus operandi

KUALA LUMPUR – Polis mengesan sindiket penyeludupan dadah menggunakan bot nelayan bagi mendapatkan bekalan dadah daripada kapal induk sebelum dibawa masuk ke negara ini.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata taktik itu dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga modus operandi utama sindiket dalam menyeludup dadah."Kita mengesan taktik sindiket melakukan transit di perairan laut apabila mereka menggunakan bot nelayan untuk berlayar ke laut dan mengambil bekalan dadah daripada kapal induk sebelum dibawa masuk ke perairan Malaysia," katanya dalam sidang akhbar berhubung kejayaan Op Gaharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, pada Sabtu.Hussein berkata, taktik itu dikesan susulan kejayaan Op Gombe pada 23 April lalu, hasil maklumat berkaitan penyeludupan dadah dari ‘Segi Tiga Emas’ ke Australia melalui laluan laut di sekitar perairan Terengganu."Operasi itu berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas 590 kilogram (kg) methamphetamine serta heroin base bernilai RM24.9 juta," katanya.Beliau berkata, selain itu, sindiket turut dikesan merekrut individu sebagai keldai dadah melalui aplikasi media sosial."Individu yang direkrut dijanjikan pakej percutian percuma atau tawaran gaji lumayan, namun hakikatnya mereka dijadikan keldai dadah dengan menyembunyikan bahan terlarang itu pada badan, menelan ketulan dadah serta menyimpannya di dalam bagasi atau ruang rahsia," katanya.Menurutnya, penyalahgunaan sistem penghantaran kargo antarabangsa turut dikesan apabila sindiket mengisytiharkan barangan sah dalam dokumen kastam, sedangkan kontena berkenaan sebenarnya digunakan untuk membawa masuk atau menghantar keluar dadah dalam jumlah besar."Antara kejayaan membabitkan modus operandi ini ialah Op Borzoi pada 25 Januari lalu, hasil perkongsian maklumat antara JSJN dan Australian Federal Police berkaitan penyeludupan methamphetamine untuk pasaran Sydney. Pihak berkuasa berjaya merampas 33.2 kg methamphetamine bernilai RM1.06 bilion."Op Virola pada 7 November lalu pula membabitkan penyeludupan methamphetamine dari negara Timur Tengah yang transit di Pelabuhan Klang, Selangor, dengan rampasan dadah seberat 45 kg bernilai RM1.44 juta," katanya.Beliau berkata, walau apa jua modus operandi yang digunakan, JSJN komited melaksanakan risikan komprehensif serta tindakan penguatkuasaan tegas bagi membanteras kegiatan penyeludupan dadah."Kejayaan ini membuktikan bahawa gabungan risikan berterusan, tindakan penguatkuasaan tegas dan sokongan padu masyarakat merupakan kaedah paling berkesan untuk melumpuhkan rangkaian sindiket dadah."Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222," katanya.