PADANG TERAP – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai 'Universiti UMNO Malaysia' secara tidak langsung mengiktiraf peranan besar UMNO dalam penubuhan institusi pengajian tinggi itu.Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan tersebut perlu dilihat dari sudut sejarah kerana UUM ditubuhkan ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden UMNO ketika itu."UMNO yang bina universiti itu pada zaman Tun Dr Mahathir. Jadi apabila Sanusi kata begitu, maknanya beliau sendiri mengiktiraf bahawa UUM ditubuhkan oleh UMNO. Itu sahaja, betul lah beliau katakan," katanya pada Sabtu.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mini Karnival Muhibbah Kepenggunaan Peringkat Negeri Kedah di sini.Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Mohamad Nizam Jamaluddin.Jelas Mahdzir yang juga bekas Menteri Besar Kedah, kenyataan Sanusi itu walaupun bersifat sindiran, tetap membawa maksud pengiktirafan terhadap sumbangan UMNO dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.Dalam pada itu, beliau turut mengulas isu kontroversi berkaitan Majlis Graduasi Persijilan Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang didakwa dibatalkan oleh pihak pengurusan UUM pada saat akhir.Menurutnya, isu tersebut tidak wajar dipanjangkan kerana majlis konvokesyen itu telah pun berlangsung dengan lancar."Konvokesyen dah selesai, jubah dah diberi, semuanya berjalan. Saya rasa tak perlu panjangkan cerita ini," ujarnya ringkas.Beliau menambah, kerjasama antara agensi kerajaan dan universiti dalam penganjuran program persijilan eksekutif adalah perkara biasa, namun tidak menolak kemungkinan berlaku salah faham yang mencetuskan ketegangan.Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi meluahkan rasa kesal terhadap tindakan UUM yang didakwa membatalkan penggunaan Dewan Mu’adzam Shah bagi majlis graduasi SADA atas alasan kerja pengubahsuaian.Beliau bagaimanapun percaya, keputusan itu berpunca daripada perbezaan fahaman politik.UUM dalam kenyataan balas menegaskan, keputusan tidak membenarkan penggunaan dewan tersebut dibuat atas faktor keselamatan selepas pemeriksaan mendapati berlaku kerosakan pada struktur bumbung akibat hujan lebat.Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, keputusan itu telah dibuat lebih awal pada 1 Disember lalu dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur politik.