Mayat wanita dalam beg sudah reput, dipercayai meninggal dunia lebih tiga hari - Polis

SEREMBAN – Misteri identiti wanita yang ditemukan maut di dalam sebuah beg yang ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau masih menjadi teka-teki apabila jasad mangsa yang sudah mereput menyukarkan proses pengecaman.Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, keadaan mayat yang dipercayai telah meninggal dunia melebihi tiga hari menyebabkan identiti sebenar mangsa belum dapat dikenal pasti setakat ini.Menurutnya, bagi membantu siasatan, polis telah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada beberapa ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa."Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat yang sudah mereput. Sampel DNA beberapa ahli keluarga telah diambil bagi tujuan pengecaman," katanya ketika dihubungi, hari ini.Dalam perkembangan berkaitan, suspek utama kes berkenaan direman tujuh hari bermula Sabtu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Farha Sulaiman di Mahkamah Majistret di sini.Suspek berusia 51 tahun itu dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dan tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi diwakili peguam, Sean Dudley.Muhammad Idzam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Beliau turut memaklumkan bahawa lelaki berkenaan ditahan di kawasan Genting Sempah, kurang 24 jam selepas penahanan seorang lagi suspek berusia 41 tahun di Melaka, yang kini direman sehingga Khamis.Sementara itu, polis masih giat memburu sekurang-kurangnya tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan, dengan keterangan ramai saksi telah diambil bagi membantu siasatan.Dalam pada itu, Muhammad Idzam berkata, siasatan awal turut mengesyaki rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat tersebut mempunyai kaitan dengan suspek utama yang juga seorang penganggur, namun perkara itu masih belum dapat disahkan buat masa ini."Perkara berkenaan masih dalam siasatan dan pengesahan lanjut sedang dilakukan," katanya.Kes penemuan mayat wanita yang ditanam di dalam beg itu terus mencetuskan perhatian ramai, sementara polis meneruskan usaha mengenal pasti identiti mangsa serta menjejaki suspek lain yang masih bebas. - Bernama