YAPEIM perkukuh hubungan strategik media

CYBERJAYA – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) memperkukuh hubungan strategik bersama pengamal media dengan menganjurkan program Santai Pickleball YAPEIM.Penyertaan melibatkan 50 pengamal media sekitar Lembah Klang dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di sini.Program tersebut mencerminkan komitmen YAPEIM dalam mengekalkan hubungan erat dengan organisasi media yang selama ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif sosioekonomi dan kebajikan kepada masyarakat.Ketua Pengarah YAPEIM, Zabidi Nasan berkata, sokongan berterusan pengamal media membantu YAPEIM meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap peranan dan fungsi yayasan berkenaan."Kerjasama erat media membolehkan maklumat berkaitan usaha YAPEIM disampaikan secara seimbang dan berkesan sekali gus membina keyakinan masyarakat terhadap institusi ini," katanya dalam ucapan penutup program berkenaan pada petang Jumaat.Menurut beliau, pendekatan santai melalui aktiviti sukan dan riadah turut menjadi platform efektif bagi merapatkan hubungan dua hala dalam suasana tidak formal.Program berkenaan mendapat penyertaan tiga kelab media utama iaitu Kelab Media Putrajaya (KMP), Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor (KLS) dan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR).Perlawanan persahabatan itu turut disertai barisan pengurusan tertinggi dan warga kerja YAPEIM.Sehingga November 2025, YAPEIM telah mengagihkan kira-kira RM725 juta kepada lebih 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak 1985 melibatkan tiga teras utama iaitu Pembangunan Ekonomi Islam, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan.