Legasi emas Sultan Pahang berterusan di Sukan SEA Thailand

KEJAYAAN skuad equestrian polo negara merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand menjadi detik penuh makna buat Malaysia apabila legasi emas Sultan Pahang diteruskan oleh anakanda baginda sendiri.Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan bangga selepas Malaysia menewaskan tuan rumah Thailand 10–6.5 dalam aksi final acara polo kategori 4–6 gol di VS Sports Club & Siam Polo Park pada Jumaat.Kemenangan di Samut Prakan itu sekali gus menghadiahkan pingat emas ke-56 kepada kontinjen negara."Hari ini hari yang cukup bertuah buat kita. Tahniah kepada anakanda dan seluruh pasukan. Thailand bermain dengan bersungguh-sungguh untuk menang, namun pasukan terbaik muncul juara," titah baginda.Baginda turut memuji persembahan taktikal skuad negara yang beraksi dengan disiplin tinggi serta meminimumkan kesilapan besar sepanjang perlawanan."Nasib memihak kepada kita tetapi yang lebih penting, pemain bermain dengan baik, penuh strategi dan taktik. Tidak banyak kesilapan besar dilakukan. Alhamdulillah," titah baginda lagi.Kejayaan itu lebih istimewa apabila Putera Sultan Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah menjadi sebahagian daripada skuad emas negara, mengulangi sejarah yang pernah dilakar ayahandanya lebih empat dekad lalu.Pada Sukan SEA 1983 di Singapura, Al-Sultan Abdullah pernah menyumbang pingat emas dalam acara polo dan kini giliran anakanda baginda membawa pulang emas untuk Malaysia pada temasya dwitahunan terbesar Asia Tenggara itu."Memang menjadi kewajipan beliau sebagai peserta di Sukan SEA ini dan Alhamdulillah berjaya menyumbang pingat emas buat Malaysia," titah Sultan Pahang merujuk kepada sumbangan Tengku Muhammad Iskandar dalam kempen kali ini.Malaysia bangkit penuh bergaya pada aksi final selepas tewas 7–9.5 kepada Thailand pada pusingan awal, dengan skuad negara menguasai permainan pada fasa akhir perlawanan untuk mengesahkan kemenangan di gelanggang lawan.Skuad emas negara dibarisi Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman, Tengku Muhammad Iskandar, Amran Selamat, Azfar Mustapha, Zulhelmi Nadzar, Shahir Akmal Shah, Ikwan Hafiz Jamaludin, Rashid Hasnan dan Edham Shaharuddin.Selain emas, Malaysia turut meraih pingat gangsa dalam acara polo kategori 2–4 gol, melengkapkan kempen cemerlang polo negara di Samut Prakan.