SHAH ALAM - Kepimpinan sepatutnya dinilai berdasarkan amanah dipikul, sumpah jawatan yang dilafazkan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, bukannya warna kulit, asal-usul atau sentimen perkauman.Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Loh Ker Chean berkata, dalam sistem demokrasi berperlembagaan, itu yang menjadi pasak kepercayaan rakyat terhadap institusi dan kestabilan negara.Menurutnya, Malaysia tidak dibina atas sentimen sempit atau dominasi satu kelompok ke kelompok yang lain."Sejak merdeka, kita memilih jalan kerukunan dalam kepelbagaian dengan berpegang pada prinsip saling menghormati, keadilan dan tanggungjawab bersama. Prinsip inilah yang menjamin keamanan dan kemenjadian negara sehingga hari ini."Perbahasan awam yang matang tidak seharusnya tersasar ke arah pertikaian identiti hingga boleh menghakis keharmonian nasional."Tumpuan kita mestilah kepada persoalan akauntabiliti iaitu sejauh mana kepimpinan yang dilantik mampu melunaskan amanah, bekerja merentas perbezaan dan meletakkan kepentingan negara mengatasi sentimen perkauman," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Beliau berkata demikian susulan pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan masyarakat Cina yang mengundang pelbagai reaksi wargamaya baru-baru ini.Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) manakala Datuk Lo Su Fui sebagai Timbalannya.Pada Selasa lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan 28 menteri dan timbalan menteri yang merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.Sementara itu, Ker Chean berpandangan bahawa Wilayah Persekutuan sebagai pusat pentadbiran dan wajah Malaysia perlu dipimpin dengan semangat kenegaraan yang tinggi.Tambah beliau, kepimpinannya perlu meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan serta memastikan setiap dasar berpaksikan kepentingan rakyat dan kedaulatan undang-undang."Justeru, inilah masanya untuk kita membuktikan kematangan politik sebagai sebuah bangsa."Malaysia akan terus kukuh jika kita berpegang pada prinsip kenegaraan yang sama iaitu menilai kepimpinan berdasarkan prestasi serta memelihara kesatuan nasional demi masa depan stabil, adil dan bermaruah," ujarnya lagi.