Isu hiasan Krismas: Prosedur harus jelas, elak peniaga keliru - Steven

SHAH ALAM - Prosedur kerajaan di semua peringkat harus jelas dan selaras bagi memastikan peniaga di negara ini dapat beroperasi tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang pelbagai susulan kontroversi larangan dekorasi berkaitan perayaan Krismas baru-baru ini.Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, penyelarasan ini penting bagi memastikan perniagaan Malaysia dapat terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri dan wilayah.Menurutnya, ia termasuk dalam sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini."Berhubung isu berkaitan hiasan bertemakan sambutan Hari Natal di premis makanan dan hotel, Dr Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memperjelaskan bahawa hiasan bertemakan sambutan Hari Natal tidak melanggar syarat pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)."Penjelasan ini wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama agar pelaksanaan di lapangan konsisten serta tidak mengelirukan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Zulkifli dilapor berkata, tiada larangan terhadap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menggunakan imej, ilustrasi atau dekorasi berkaitan perayaan agama selain Islam, namun ia perlu tertakluk kepada syarat ditetapkan termasuk tidak menjejaskan prinsip halalan thoyyiban.Beliau berkata, dekorasi, imej, hiasan dan ilustrasi yang berhubungan dengan perayaan selain daripada agama Islam pada produk makanan yang bersifat tidak kekal, turut dibenarkan.Sebelum ini, tular surat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berhubung pemakluman dekorasi sempena perayaan Krismas di hotel dan premis makanan yang dipersijilkan halal di Melaka.Menerusi surat itu, Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Melaka yang bersidang pada 31 Oktober lalu sebulat suara bersetuju bahawa hiasan sambutan perayaan tersebut tidak dibenarkan di dapur atau outlet hotel yang dipersijilkan halal kerana ia merupakan perayaan keagamaan dan bukan kebudayaan.Isu berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi termasuk pihak yang tidak bersetuju dengan pendirian tersebut.