KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah menegaskan bahawa Tabung #JusticeForZara diurus sepenuhnya secara telus dan akauntabiliti bagi membantu keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir serta menyokong keperluan prosiding inkues yang dijalankan.Setiausahanya, Sitti Fhaizah Mukthar berkata, semua kutipan dana direkodkan dengan teliti dan digunakan hanya untuk tujuan yang telah ditetapkan termasuk kos dokumentasi, khidmat kepakaran, logistik, penginapan serta keperluan mesyuarat dan operasi berkaitan."Setiap perbelanjaan disertakan dengan resit dan dokumen rasmi bagi memastikan akauntabiliti sepenuhnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Menurut laporan ringkas tabung berkenaan, beliau berkata, kutipan dana yang dijalankan dari 8 hingga 12 September 2025 merekodkan jumlah terkumpul sebanyak RM255,016.27 dengan perbelanjaan berjumlah RM162,155.87 manakala baki semasa setakat 18 Disember adalah sebanyak RM94,096.97.Sitti Fhaizah berkata, perbelanjaan melibatkan kos kepakaran dan konsultasi profesional berjumlah RM82,747.35, diikuti logistik dan perjalanan sebanyak RM40,435.54 serta penginapan RM22,119.28.Selain itu, perbelanjaan bagi dokumentasi dan komunikasi direkodkan sebanyak RM12,497, keperluan mesyuarat dan operasi RM4,135.70 serta caj dan kos pentadbiran RM221.Beliau turut menjelaskan Tabung #JusticeForZara diuruskan melalui sebuah akaun khas di bawah nama pertubuhan selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus kewangan yang baik.Katanya, pengurusan akaun itu melibatkan penandatangan daripada pihak pertubuhan (bendahari dan setiausaha), wakil keluarga mangsa iaitu ibu kepada Zara Qairina, Noraidah Lamat, serta wakil peguam yang dilantik iaitu Shahlan Jufri dan Mohd Syarulnizam Mohd Salleh."Segala penggunaan dan pengeluaran dana daripada Tabung #JusticeForZara dibuat dengan pengetahuan dan keizinan Noraidah selaku ibu dan wakil keluarga mangsa, selaras dengan tujuan tabung ini diwujudkan untuk menyokong keperluan keluarga dan prosiding inkues," katanya.Sitti Fhaizah berkata, semua maklumat dan rekod kewangan Tabung #JusticeForZara telah didedahkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan laporan kewangan boleh disemak oleh pihak berkuasa atau penderma berkepentingan melalui saluran rasmi tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan.Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan masyarakat serta berharap usaha berkenaan dapat memberikan manfaat sebenar kepada keluarga Zara Qairina dan kelancaran prosiding inkues yang sedang berlangsung. - Bernama