Lelaki lemas kereta terjunam dalam Sungai Perak

PARIT – Seorang lelaki disahkan maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam Sungai Perak di Kampung Baru Layang-Layang Kanan di sini, lewat malam Jumaat.Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 11.27 malam.Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang saksi melihat sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang dipandu seorang lelaki terjatuh ke dalam sungai."Saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada pihak polis bagi mendapatkan bantuan."Kenderaan tersebut berjaya dikesan sebelum mangsa yang terperangkap di dalamnya dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Hafizul Helmi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di talian 05-371 2222 atau Balai Polis Parit bagi membantu siasatan.Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit tiba di lokasi."Operasi mencari dan menyelamat yang disambung pada Sabtu bersama pihak polis dengan menggunakan bot bomba dan bot polis turut dibantu penduduk kampung."Pencarian dilakukan sejauh kira-kira 100 meter dari jeti, iaitu lokasi kereta mangsa dipercayai terjatuh, menuju ke hilir sungai," katanya.Shazlean berkata, anggota berjaya mengesan kedudukan kereta tersebut pada jarak kira-kira 20 meter dari jeti sebelum bantuan kren dipanggil bagi mengeluarkan kenderaan itu.Katanya, mayat mangsa berusia 34 tahun ditemui masih berada di dalam kereta pada jam 2.10 petang.Beliau berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.Operasi tersebut melibatkan seramai 11 anggota JBPM termasuk dari BBP Parit dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), dibantu 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta kira-kira 15 penduduk kampung.Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.