HULU SELANGOR - Karangkraf melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyantuni masyarakat setempat melalui penyerahan bantuan barangan persekolahan dan kit kebersihan diri kepada penduduk Kalumpang menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Kembali ke Sekolah.Program CSR Karangkraf dengan kerjasama beberapa rakan strategik termasuk Yayasan Mr D.I.Y, MK Land Berhad, Intimate by NTPM dan HUMAM Relief itu berlangsung di pekarangan Bangunan Persatuan Anak-Anak Kalumpang (PAK), Kalumpang, di sini.Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Ariffin, penglibatan Karangkraf dalam inisiatif berkenaan didorong oleh pendekatan berasaskan pemerkasaan komuniti yang sentiasa menjadi keutamaan Karangkraf."Kita sentiasa prihatin dan menumpukan kepada pemerkasaan komuniti. Kita ingin memastikan bahawa setiap kerjasama yang dibuat benar-benar memberi manfaat dan membantu meringankan beban ahli-ahli keluarga."Dalam tempoh singkat, persetujuan untuk melaksanakan program berkenaan dicapai bagi bersama-sama membantu meringankan beban ahli-ahli keluarga yang memerlukan," katanya.Nik Justin berkata sedemikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Kembali ke Sekolah di perkarangan Bangunan Koperasi PAK, Kampung Gumut Tambahan, Kalumpang, pada Sabtu.Kongsi beliau lagi, Karangkraf bersama rakan strategik menyalurkan bantuan kepada seramai 150 pelajar terpilih dengan jumlah nilai sumbangan keseluruhan kira-kira RM25,000."Sumbangan ini merangkumi barangan keperluan asas sekolah seperti peralatan pembelajaran, beg sekolah yang berkualiti tinggi serta barangan kebersihan diri untuk kegunaan harian," menurutnya.Nik Justin berkata, bantuan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar bagi memulakan sesi persekolahan dengan lebih selesa, sekali gus meringankan bebanan ibu bapa.Tambahnya, pemilihan tarikh penganjuran dibuat dengan mengambil kira keperluan semasa ibu bapa, khususnya pada hari pertama cuti persekolahan yang lazimnya memerlukan perbelanjaan tambahan bagi kelengkapan anak-anak.Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan para pelajar supaya memanfaatkan bantuan yang diterima dengan sebaiknya serta memberi tumpuan terhadap pelajaran.Nik Justin memberitahu, usaha menyantuni masyarakat setempat seperti di Kalumpang akan terus diperkasakan melalui kerjasama strategik, dengan penekanan diberikan kepada keperluan asas yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan keluarga dan pendidikan anak-anak.Menurut Yang Dipertua PAK, Hasnur Hashim, program berkenaan bertujuan membantu anak-anak Kalumpang membuat persiapan awal bagi sesi persekolahan 2026."Kami sedar cuti persekolahan baru sahaja bermula tetapi berpandangan tidak salah membuat persiapan awal sebelum sesi sekolah baharu bermula tahun hadapan terutama bagi ibubapa yang akan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk persiapan anak anak ke sekolah," ujarnya.Beliau berkata, sumbangan terbabit adalah salah satu usaha persatuan mereka untuk membantu anak-anak terutama yang bersekolah di Kalumpang.Tambahnya, kira-kira 150 pelajar yang dipilih itu terdiri dari senarai keluarga asnaf diperolehi melalui pangkalan sekolah sendiri meliputi tiga sekolah di Kalumpang dan juga dari senarai keluarga asnaf dari ahli kariah Masjid KalumpangSehubungan itu, Hasnur menzahirkan penghargaan kepada Karangkraf atas usaha mendapatkan penglibatan syarikat-syarikat besar seperti Yayasan Mr D.I.Y dan MK Land Berhad bagi menyumbang beg serta peralatan sekolah asas."Kami juga menghargai penglibatan HUMAM Relief yang hadir untuk memberi penerangan berkaitan kebersihan diri untuk sama-sama dimanfaatkan oleh penduduk Kalumpang," menurutnya.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HUMAM Relief, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyampaikan taklimat serta mengagihkan kit kebersihan diri khusus untuk wanita bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kebersihan wanita, terutama ketika haid.Menurut beliau, haid merupakan satu proses semula jadi dalam kehidupan wanita, namun masih dianggap sensitif sehingga menyebabkan isu kebersihan haid kurang diberi perhatian dalam masyarakat.Katanya, terdapat wanita yang tidak dapat mengurus kebersihan diri ketika haid bukan kerana tidak mengetahui kepentingannya, sebaliknya disebabkan kekangan akses dan kemampuan untuk mendapatkan keperluan asas.Beliau berkata, atas dasar kesedaran itu, satu inisiatif kit penjagaan kebersihan wanita diperkenalkan bagi membantu golongan memerlukan mendapatkan keperluan kebersihan diri secara bermaruah.Jelasnya, pemberian kit kebersihan tersebut bukan sekadar bantuan fizikal, sebaliknya menjadi medium untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat bahawa penjagaan kebersihan wanita adalah aspek penting dalam kesejahteraan hidup.