2 sindiket edar dadah tumpas, nilai rampasan cecah RM2.8 juta

KUALA LUMPUR - Seramai 19 individu terlibat dalam dua kegiatan sindiket pengedaran dadah pasaran tempatan diberkas menerusi operasi berasingan dengan nilai rampasan dadah hampir RM2.8 juta.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sembilan lelaki, tiga wanita tempatan dan seorang wanita warga asing berusia antara 25 hingga 63 tahun ditahan menerusi sembilan serbuan di Johor, Selangor serta Negeri Sembilan dalam Op Tupelo yang dijalankan dari 14 hingga 22 November lalu."Kita merampas pelbagai jenis dadah termasuk 15.3 kilogram (kg) methylenedioxy methamphetamine (MDMA), 4.1kg pil eramin 5, 206 gram (g) methamphetamine, 82.3g pil ekstasi, 17g ketamin dan 3.8g heroin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.6 juta."Siasatan mendapati sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah yang menyasarkan pasaran tempatan itu aktif sejak pertengahan tahun ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Hussein berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 11 daripada individu yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo."Sembilan daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah serta jenayah," katanya.Beliau berkata, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM1.2 juta melibatkan wang tunai RM499,950, tujuh kenderaan dan barangan kemas.Sementara itu, Hussein berkata, enam lelaki berusia antara 23 hingga 38 tahun ditahan sekitar Lembah Klang menerusi Op Rimu pada 9 Disember lalu."Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan terlibat dalam pengedaran pelbagai jenis dadah untuk pasaran tempatan."Kita turut merampas 215.5g methamphetamine, 1.95kg ganja, 1.06kg pil eramin 5, 1kg heroin serta 19.13g pil ekstasi dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM132,244," katanya.Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada enam suspek positif dadah jenis benzo dan kesemua mereka mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes dadah serta jenayah."Tindakan pelucuthakan harta turut dilaksanakan dengan jumlah sitaan dianggarkan bernilai RM368,250 melibatkan wang tunai RM10,950, lima kereta, dua motosikal, seutas jam tangan serta pelbagai barangan kemas," katanya.