Mayat wanita dalam beg: Polis buru tiga lagi individu

SEREMBAN – Polis masih memburu sekurang-kurangnya tiga lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kes penemuan mayat seorang wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau, Khamis lalu.Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, setakat ini keterangan daripada ramai saksi telah diambil bagi membantu siasatan dan menjejaki suspek yang masih bebas.Menurutnya, usaha mengesan suspek lain sedang giat dijalankan susulan penahanan dua lelaki berkaitan kes berkenaan.Dalam perkembangan sama, suspek utama berusia 51 tahun direman tujuh hari bermula Sabtu selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Farha Sulaiman di Mahkamah Majistret di sini.Suspek berkenaan dibawa polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dan tiba di mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi diiringi peguam, Sean Dudley.Muhammad Idzam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.Beliau sebelum ini memaklumkan bahawa lelaki terbabit ditahan di kawasan Genting Sempah, kurang 24 jam selepas penahanan seorang lagi suspek berusia 41 tahun di Melaka, yang kini direman sehingga Khamis.Dalam pada itu, identiti sebenar mayat wanita yang ditemukan masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan jasad yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari."Identiti mangsa masih belum dikenal pasti kerana keadaan mayat yang sudah mereput. Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) beberapa ahli keluarga telah diambil bagi membantu proses pengecaman," katanya.Selain itu, Muhammad Idzam berkata, siasatan awal turut mengesyaki rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat berkenaan mempunyai kaitan dengan suspek utama yang juga seorang penganggur, namun perkara itu masih belum dapat disahkan setakat ini.Kes berkenaan terus disiasat dari pelbagai sudut sementara polis mempergiat usaha mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat.Sementara itu, Polis Daerah Ampang sebelum ini turut memohon bantuan orang ramai bagi mengesan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu, bagi membantu siasatan kes terbabit. - Bernama