PRK Kinabatangan: Anak Bung Moktar penuhi tiga prasyarat sebagai calon-Jafry

KOTA KINABALU - Mohd Naim Kurniawan Bung Moktar memenuhi tiga prasyarat utama iaitu legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan membawa mandat rakyat, sekali gus melayakkannya dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik pengumuman Mohd Naim sebagai calon PRK bagi kawasan berkenaan."Dalam kerangka sains politik, kesinambungan kepimpinan bukan soal keturunan semata-mata, tetapi soal legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi dan keupayaan membawa mandat rakyat."Naim Kurniawan memenuhi ketiga-tiga prasyarat tersebut. Beliau dipilih melalui pertimbangan institusi parti, disokong jentera akar umbi dan membawa nilai kesinambungan perjuangan yang telah diterjemahkan melalui khidmat, bukan simbolik semata-mata," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Menurut beliau, PRK Kinabatangan bukan sekadar ujian terhadap individu, sebaliknya menguji kestabilan institusi politik, tahap kepercayaan rakyat serta keupayaan BN mengekalkan mandat pembangunan di kawasan yang strategik dan mencabar."UMNO Sabah akan berdiri teguh, bersatu dan fokus memastikan suara rakyat Kinabatangan terus terbela secara berprinsip, berwibawa dan berterusan," ujarnya.Mohd Naim yang juga anak kepada penyandang Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin diumum sebagai calon BN bagi PRK Kinabatangan yang akan diadakan pada 24 Januari depan.PRK diadakan susulan Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember lalu akibat komplikasi buah pinggang dan paru-paru.