Kuala Lumpur - Seorang guru di sebuah sekolah di Kampung Pandan di sini ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun pada Jumaat. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, semakan mendapati lelaki berusia 40 tahun itu telah mengajar di sekolah berkenaan kira-kira 11 tahun."Lelaki terbabit direman enam hari bermula hari ini (Sabtu) hingga Khamis depan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kes itu pada 4.16 petang, Selasa.Kes disiasat mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017. - Bernama