SHAH ALAM – Suasana sekitar kawasan pusat perniagaan di Seksyen 25 di sini gempar apabila seorang bayi ditemui tidak bernyawa di dalam plastik yang ditinggalkan di lorong belakang sebuah pasar raya pada Sabtu.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada orang awam menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam."Anggota polis yang menjalankan rondaan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesahkan penemuan seorang bayi perempuan di dalam plastik."Siasatan awal mendapati petugas ambulans yang dihubungi telah mengesahkan bayi berkenaan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Ramsay berkata, anggota pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut digerakkan ke lokasi bagi mengendalikan tempat kejadian serta mengumpul bukti dan barang kes untuk membantu siasatan."Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati bayi itu disyaki dilahirkan di lokasi lain sebelum dibuang di kawasan berkenaan."Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan sebarang bukti dan mendapatkan keterangan daripada orang awam di sekitar kawasan kejadian," katanya.Menurutnya, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Klang bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian."Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394 bagi membantu siasatan," katanya.