SHAH ALAM - Ibu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa meninggal dunia jam 8.23 malam pada Sabtu.Perkhabaran sedih itu diberitahu Dr Zaliha menerusi hantaran ringkas di Facebook beliau sebentar tadi."Hari duka buat kami sekeluarga, mak telah pergi buat selama-lamanya pada jam 8.23 malam tadi. Tiada lagi gurau senda dan doa mak."Tiada kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Saya mohon doa semua agar ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh mak, mengampunkan segala dosanya, menerima amal kebaikannya dan menempatkan mak dalam kalangan orang-orang beriman."Semoga ALLAH SWT mengurniakan ketenangan dan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk menghadapi saat yang amat berat ini," katanya.Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran terbaharu mengucapkan takziah buat Dr Zaliha atas pemergian ibunda tercinta.Beliau dan isteri turut memanjatkan doa agar Dr Zaliha sekeluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan hati serta ketenangan jiwa dalam menghadapi ujian berat itu."Dengan penuh rasa dukacita, saya dan Azizah menerima khabar pemergian Allahyarhamah Halimah Yaacob, bonda kepada Dr Zaliha."Kami menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima seluruh amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta orang-orang beriman. Al-Fatihah," ujarnya.