SHAH ALAM – Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung pada Isnin merupakan wadah yang sesuai dan konstruktif untuk menyelesaikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat tersebut akan membolehkan Kemboja dan Thailand berunding secara terbuka, menyelesaikan perbezaan secara aman serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan."Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara."Saya menegaskan pentingnya untuk Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan dan saling menghormati demi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Ketika sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana pada Rabu lepas, Anwar memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri mesyuarat khas berkenaan.