'Masih terlalu awal label JDT juara Liga Super'

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menegaskan masih terlalu awal untuk melabelkan pasukannya sebagai juara Liga Super muzim ini biarpun kekal mendominasi saingan setakat ini.Menurut pengendali kelahiran Sepanyol itu, pencapaian menamatkan pusingan saingan pertama liga dengan 12 kemenangan berturut-turut sememangnya satu petanda positif buat kelab dan pasukan, namun masih banyak perlawanan perlu ditempuh sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat."Masih terlalu awal untuk bercakap soal kejuaraan. Banyak lagi perlawanan menanti, terutama jadual padat pada Januari dan Februari."Oleh itu, setiap pemain, sama ada import atau tempatan, perlu sentiasa bersedia dan memberikan yang terbaik di setiap peringkat."Apa pun, sekarang masanya untuk berehat dan ‘recharge’ semula bateri selama tiga, empat atau lima hari kerana tiada perlawanan terdekat."Selepas itu, kami perlu kembali bekerja dan terus memperbaiki pasukan bagi melakar lebih banyak kejayaan," katanya.Munoz berkata demikian pada sidang akhbar sejurus tamat aksi Liga Super berdepan Kelantan The Real Warriors FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menang, 4-1.Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu kini terus unggul di puncak Liga Super dengan 36 mata hasil 12 kemenangan berturut-turut setakat ini.Tambah Munoz, skuad kendaliannya itu perlu terus meningkatkan kawalan permainan terutamanya dalam tempoh tertentu perlawanan selain memperbaiki peratusan penyudah yang masih boleh dipertingkatkan.Munoz turut menekankan kepentingan mengekalkan ‘clean sheet’ dan bermain dengan mentaliti sama sepanjang 90 minit bagi mengelakkan pasukan lawan mendapat peluang mudah."Kami mesti menjaringkan lebih banyak gol. Satu, dua, tiga gol dan terus mencuba lagi dan lagi. Dalam masa sama, kami tidak boleh memberi peluang mudah kepada lawan," katanya.Sementara itu, ketika mengulas kesilapan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi yang ‘dibolosi’ satu gol pada perlawanan berkenaan, Xisco menyifatkan ia sebagai kesilapan individu.Bagaimanapun katanya, kesilapan seperti itu tidak sepatutnya berulang kerana pasukan tidak boleh dibolosi dengan gol mudah, apatah lagi apabila situasi sama pernah berlaku sebelum ini."Kesemua pemain dapat terus positif selari dengan falsafah pasukan selain sentiasa menyokong setiap pemain dalam apa jua keadaan, sama ada ketika berada di puncak atau berdepan detik sukar."Pemain juga perlu sentiasa merendah diri dan mengawal kerana ia adalah sebahagian daripada proses membina pasukan yang lebih kuat," katanya.