Kes mayat wanita terapung di sungai tiada unsur jenayah - Polis

KUALA LUMPUR – Tiada elemen jenayah membabitkan kes penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan terapung di Sungai Gombak berhampiran sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini Khamis lalu.Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, jasad wanita tempatan berusia 36 tahun itu telah dituntut oleh keluarganya."Punca kematian adalah akibat lemas dan setakat ini tiada unsur jenayah dalam kes terbabit. Polis telah merekodkan empat keterangan termasuk daripada ibu mangsa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan polis menerima laporan kejadian pada jam 11.37 pagi selepas dimaklumkan mengenai penemuan satu mayat terapung di sungai berkenaan.Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 36 tahun, tidak bekerja dan menetap di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.Mangsa dilaporkan keluar dari rumah sejak 17 Disember lalu dan tidak pulang sehingga mayatnya ditemukan.Hasil siasatan polis turut mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, namun dipercayai mengalami kemurungan selepas teman lelakinya dipenjarakan berkaitan kes dadah.