KUALA LUMPUR – Polis telah merakam keterangan enam saksi setakat ini bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang pelajar Sekolah Agama Rakyat (SRA) di Kampung Pandan di sini.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan masih berjalan dan pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada terdapat petunjuk yang menunjukkan wujudnya mangsa lain dalam kes berkenaan."Setakat ini, siasatan masih diteruskan dan semua aspek berkaitan sedang diperhalusi."Siasatan awal juga mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurut beliau, suspek telah direman selama enam hari bermula 20 hingga 25 Disember 2025 bagi membantu siasatan."Kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya dengan kadar segera untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya.Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut yang melibatkan seorang murid di sebuah sekolah agama di Kampung Pandan.Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Lazim Ismail sebelum ini dilaporkan berkata, laporan berhubung kes berkenaan diterima pada jam 4.16 petang, Selasa lalu.