[VIDEO] Jenazah ibu Dr Zaliha selamat dikebumikan di Kulai

KULAI - Jenazah Allahyarham Halimah Yaacob, 77, ibu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Al-Raudah, Saleng di sini jam 8.30 pagi pada Ahad.Allahyarham Halimah menghembuskan nafas terakhir jam 8.23 malam pada Sabtu di kediaman Dr Zaliha di Putrajaya, setelah mengalami kemerosotan kesihatan akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak sekian lama.Urusan mandi, mengkafankan dan solat jenazah disempurnakan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di sini bagi urusan pengebumian.Menurut Dr Zaliha, keadaan kesihatan ibunya berada dalam keadaan tidak menentu sejak tiga hingga empat bulan lalu dan semakin merosot dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini."Arwah memang menghidap penyakit kencing manis dan keadaannya semakin merosot."Sejak empat ke lima bulan lalu, sakitnya menjadi lebih teruk," katanya ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian pada Ahad.Dr Zaliha berkata, keadaan ibunya dilihat kritikal dan tenat pada pagi hari sebelum meninggal dunia, meskipun masih mampu diuruskan dalam tempoh beberapa hari sebelumnya."Semalam (Sabtu), pagi itu nampak keadaannya agak kritikal dan tenat. Sebelum itu, tiga hari kami masih boleh menguruskan keadaannya," katanya.Dr Zaliha turut memaklumkan, ibunya dibawa pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib dan keadaannya dilihat semakin nazak sebelum waktu Isyak, sebelum menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas azan Isyak dilaungkan."Selepas azan, arwah meninggal dunia dan kami terus menguruskan jenazah. Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan dan semua pihak memberikan kerjasama," katanya.Tambahnya lagi, Allahyarham tinggal bersama datuk mereka sejak jatuh sakit dan telah lama menghidap penyakit tersebut.Bagaimanapun katanya, tahap kesihatan yang serius hanya berlaku dalam tempoh beberapa bulan terakhir."Alhamdulillah, jenazah dapat diuruskan sepenuhnya termasuk dimandi, dikafankan dan disolatkan sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya. Jenazah tiba sekitar jam 3 pagi."Ramai rakan arwah hadir kerana beliau dikenali di situ. Segala urusan jenazah juga sangat mudah dan cepat. Saya yakin itu tanda-tanda rahmat ALLAH," katanya.Dr Zaliha menyifatkan ibunya sebagai seorang insan yang sangat baik, hidup dalam kesederhanaan namun berjaya membesarkan anak-anak menjadi individu berguna kepada masyarakat."Semoga ALLAH mengampunkan dosa arwah dan menempatkannya dalam kalangan orang yang soleh. Insya-ALLAH, menjadi ahli syurga," katanya.