KUANTAN – Seorang peniaga warga emas kerugian RM496,899 selepas diperdaya melalui tawaran kerja sambilan yang diiklankan menerusi aplikasi Facebook pada 28 Ogos lalu.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 61 tahun itu berminat dengan iklan berkenaan lalu menghubungi suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah platform e-dagang.Menurutnya, suspek kemudian memberikan satu pautan palsu bagi tujuan pendaftaran akaun penjual."Mangsa diarahkan menjalankan aktiviti kerja sambilan dengan memilih beberapa jenis produk yang kononnya boleh dijual ke pasaran Eropah melalui platform tersebut."Suspek memaklumkan bahawa kos barangan perlu ditanggung oleh mangsa terlebih dahulu dan komisen keuntungan sebanyak 30 peratus akan diberikan bagi setiap produk selepas barangan berjaya dihantar kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, mangsa telah membuat beberapa transaksi pembayaran secara berperingkat ke akaun suspek bagi tujuan pembelian barangan.Ujarnya, jumlah keseluruhan wang yang telah dimasukkan adalah sebanyak RM505,202.71, dan mangsa hanya menerima keuntungan sebanyak RM8,303.65 melalui tiga transaksi pada peringkat awal.Yahaya menambah, mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan secara berterusan kononnya bagi tujuan yuran dan melengkapkan proses pelepasan dana sebelum keuntungan boleh diterima."Namun, selepas bayaran dibuat, keuntungan seterusnya gagal diterima dan dana tidak dilepaskan."Mangsa mengesyaki dirinya telah diperdaya, menyebabkan kerugian berjumlah RM496,899 melibatkan wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.Tambah beliau, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.Dalam pada itu, Yahaya menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran hadiah atau pulangan pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan.Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan awal melalui portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my untuk mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan."Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.